Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Universiti Cyberjaya tawar biasiswa RM2.5 juta khas untuk pelajar Sabah

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Universiti Cyberjaya bakal menawarkan biasiswa pendidikan berjumlah RM 2.5 juta khusus untuk pelajar Sabah di institusi pendidikan tersebut.

Pro Canselor Universiti Cyberjaya, Tan Sri Dr Palaniappan A/L Ramanathan Chettiar berkata biasiswa itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat institusi pendidikan. 

“Kita membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan kita akan menerbitkan biasiswa pendidikan berjumlah RM 2.5 juta atas nama beliau.

“Disamping itu juga, biasiswa ini dapat memberi peluang kepada pelajar negeri ini untuk mendapat akses pendidikan dan dengan cara ini kami dapat menyumbang semula kepada masyarakat terutamanya kepada pelajar negeri ini yang layak serta kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan. 

“Tujuan utama untuk kita berada dalam pendidikan adalah untuk membantu, membolehkan masyarakat belajar dan berjaya serta memastikan mereka mempunyai pekerjaan yang baik sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu di sini pada Isnin.

Palaniappan berkata, pihaknya akan terus menyumbang kepada negeri ini bukan sahaja dalam sektor pendidikan malah ke sektor-sektor lain seperti projek tenaga solar.

Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu menempatkan seramai 2,300 orang pelajar dan menawarkan pengajian di peringkat sijil, asasi dan juga diploma dalam pelbagai jurusan termasuk dalam bidang sains, perniagaan dan juga kesihatan.

Turut hadir dalam rombongan kunjungan tersebut Pengarah Kanan Bahagian Pengambilan Kalimuthu Thumbasamy dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu Dr Awang Faisal Assyifa Ag Rahim.

LEAVE A RESPONSE