Read Time:2 Minute, 11 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TUNGKU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tungku kini giat melaksanakan persiapan rapi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17) dengan jentera yang sudah siap dibentuk dan digerakkan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tungku, Zuraidah Asdain berkata, persiapan jentera telah dimulakan sejak pertengahan tahun ini dengan tumpuan kepada usaha mendekati pengundi dan mengukuhkan sokongan di peringkat akar umbi.
“Gerak kerja kami sudah bermula sejak bulan Mei lagi. Kini semua berjalan lancar dan kami sudah mula mendekati pengundi yang telah dikenal pasti.

“Ahli wanita hampir 2,000 orang, dan daripada jumlah itu, 350 telah dibentuk sebagai jentera pilihan raya untuk membantu GRS di DUN Tungku,” katanya kepada Sabah Media di sini.
Menurutnya, struktur jentera kini sudah lengkap di setiap PDM dan lokaliti manakala mesyuarat serta pemantauan dijalankan secara mingguan bagi memastikan semua petugas aktif berhubung dengan pengundi, khususnya pengundi “putih” atau penyokong tegar Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Setiap minggu saya akan turun bertemu dengan jentera dan memastikan mereka sudah berjumpa dengan pengundi yang berpihak kepada kita. Sehingga kini, lebih 2,200 pengundi telah kami temui secara fizikal sejak bulan lalu,” ujarnya.
Zuraidah berkata, walaupun pelancaran rasmi bilik gerakan masih menunggu arahan daripada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hasan, namun lokasi bilik gerakan di semua kawasan telah dikenal pasti dan sedia beroperasi.
Mengenai demografi pengundi beliau berkata, hampir 40 peratus pengundi di Tungku terdiri daripada golongan muda berusia antara 21 hingga 40 tahun, termasuk mereka yang menjadi pengundi baharu selepas tahun 2020.
“Golongan muda ini agak besar jumlahnya. Mereka kini menjadi tumpuan utama jentera kami kerana ramai dalam kalangan mereka merupakan pengundi kali pertama,” katanya.
Mengulas mengenai sokongan terhadap kerajaan negeri, Zuraidah optimis rakyat Tungku akan terus memberi mandat kepada GRS yang kini mentadbir Sabah.
“Kami yakin rakyat Tungku mahu mengekalkan kerajaan sedia ada kerana mereka menikmati pelbagai insentif dan bantuan daripada kerajaan. Sepanjang tempoh ini, bantuan kebajikan tidak pernah terputus, terutama hasil usaha PPM Tungku,” katanya.
Namun begitu, beliau mengakui masih terdapat cabaran dalam kalangan pengundi muda yang cenderung menilai calon terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Pada awalnya mereka (pengundi muda) lebih melihat kepada siapa calon. Tambahan pula kawasan Tungku diwakili pembangkang, jadi pembangunan agak perlahan dan mereka mahu lihat perubahan,” jelasnya.
Zuraidah berkata, jentera wanita bertekad memastikan kemenangan GRS di Tungku bagi mengekalkan kestabilan dan kesinambungan pembangunan di Sabah.
“Insya-Allah, kami akan pastikan GRS menang di Tungku dan menyumbang satu kerusi penting untuk pembentukan kerajaan. Ini hadiah kami kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden dan Pengerusi GRS,” katanya penuh semangat. – SABAH MEDIA