Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Kelayakan BUDI95 dikurangkan ke 200 liter mulai April – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 20 Second

KUALA LUMPUR: Had kelayakan penggunaan petrol bersubsidi BUDI95 diselaras daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April sebagai langkah memastikan pengagihan subsidi lebih bersasar tanpa menjejaskan majoriti rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian mendapati purata penggunaan rakyat adalah sekitar 100 liter sebulan, manakala hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.

Beliau berkata, langkah berkenaan tidak akan memberi kesan besar kepada majoriti pengguna, selain membantu kerajaan mengawal ketirisan subsidi.

“Kerajaan mengekalkan harga petrol BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun berlaku kenaikan harga minyak di negara jiran, sebagai usaha meringankan beban rakyat.

“Manakala had siling penggunaan bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter sebulan dengan mengambil kira keperluan pekerjaan mereka,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter meskipun harga pasaran meningkat, berikutan faktor geografi dan logistik di kedua-dua negeri.

Bagi mengawal bekalan serta mengelakkan penyelewengan, beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan had pengisian bahan api bagi setiap transaksi, iaitu maksimum 50 liter untuk kenderaan ringan persendirian, 100 liter bagi kenderaan awam dan barangan tidak melebihi tiga tan, serta 150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan bekalan bahan api diagihkan secara adil dan mencukupi, selain membendung aktiviti penyeludupan yang dikesan menyebabkan kerugian besar.

“Penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan subsidi,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat memahami keperluan pelaksanaan langkah berkenaan demi menjaga kepentingan bersama serta memastikan kelangsungan subsidi secara mampan.

LEAVE A RESPONSE