Read Time:1 Minute, 58 Second
SUNGAI BULOH: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan hari ini mendakwa seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan isu “mafia korporat”, Victor Chin, cuba mendapatkan suaka politik di United Kingdom dengan membina naratif kononnya beliau adalah mangsa.
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, tindakan itu dilakukan dengan mencipta tuduhan serta dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas bagi mencemarkan imej Parti Keadilan Rakyat (PKR), ahli Parlimennya serta Kerajaan Madani.
“Semua ini adalah strategi untuk menunjukkan seolah-olah dia mangsa supaya boleh mendapatkan suaka politik di United Kingdom.
“Sebab itu dia menyalahkan AMLA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), polis dan semua pihak lain. Jika tidak melakukan kesalahan, pulanglah ke Malaysia untuk disiasat, bukan membuat tuduhan liar dari luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut menggesa individu berkenaan mengemukakan bukti sekiranya mempunyai dakwaan kukuh.
“Kalau ada bukti, tunjukkan. Ini bukan gelanggang jenaka untuk membuat kenyataan sesuka hati. Saya telah mengarahkan ahli PKR khususnya di Sungai Buloh untuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.
Semalam, melalui satu dokumen setebal 40 muka surat, Victor Chin mendakwa seorang ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.
Menurut dakwaan itu, beliau telah membayar RM9.5 juta kepada ahli Parlimen berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu, selain mengancam untuk mendedahkan identiti individu tersebut sekiranya wang itu tidak dipulangkan sebelum 30 Mac ini.
Mengulas lanjut, Ramanan mempersoalkan motif dakwaan berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ia bertujuan menjatuhkan kerajaan.
“Dulu dia kata diburu polis, kemudian menyalahkan Bank Negara, dan kini menuduh ahli Parlimen PKR pula. Setiap hari ceritanya berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan turut menolak gelaran “mafia korporat” yang dikaitkan dengan ahli perniagaan tersebut.
“Banyak pihak menggambarkan dia sebagai mafia korporat. Saya ingin tegaskan, dia bukan mafia korporat. Mafia pun ada kod etika dan prinsip, tetapi beliau ini adalah ‘devil corporate’ — langsung tiada belas ihsan.
“Yang lebih membimbangkan, ada pihak menggambarkan beliau seperti malaikat, sedangkan ramai individu kehilangan simpanan hidup akibat manipulasi saham yang didakwa melibatkan beliau,” katanya.
Ramanan turut menegaskan bahawa ramai individu lain yang berdepan waran tangkap telah pulang ke tanah air untuk menghadapi proses perundangan.
“Tidak mengapa jika dia masih menganggap dirinya tidak bersalah, tetapi hentikan bersembunyi di luar negara. Pulanglah ke Malaysia dan hadapi siasatan.
“Negara ini mempunyai undang-undang. Jika benar tidak bersalah, tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.






