Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Ellron kekal bersama GRS demi pembangunan dan kestabilan Sook

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Silar Pinikit

SOOK :  Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook Datuk Ellron Alfred Angin, menegaskan pendiriannya untuk kekal bersama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Sook.

Beliau menyatakan demikian semasa Majlis Bicara Pemimpin dan Amanat Datuk Ellron yang diadakan di Kampung Biah Tengah, pada Isnin.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti pelbagai sudut, mendengar suara akar umbi dan menimbang masa depan rakyat Sook secara menyeluruh.

“Keputusan ini bukan untuk kepentingan diri, tetapi kerana saya mahu terus berjuang untuk rakyat Sook agar pembangunan tidak terhenti dan suara kita terus didengari di peringkat negeri,” katanya.

Ellron berkata, GRS merupakan kerajaan yang stabil dan prihatin terhadap rakyat, terbukti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan Sabah 2025, termasuk bantuan tunai RM300 sebulan, Rumah Mesra SMJ, program pembasmian kemiskinan, dan bantuan pendidikan untuk pelajar sekolah.

“Inilah bukti kerajaan yang bekerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa GRS kekal konsisten memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan beberapa kejayaan penting telah dicapai.

Antara yang berjaya dicapai termasuklah pengiktirafan jabatan teknikal negeri (JKR dan JPS); penyerahan kawal selia gas kepada Sabah; pindaan Akta LHDN dan pemberian khas RM600 juta dan penurunan kuasa dalam urusan alam sekitar dan tenaga buruh.

Menurutnya, perjuangan tersebut bukan soal politik semata-mata, tetapi satu komitmen untuk masa depan Sabah yang lebih berdaulat dan makmur.

“Saya tidak mahu pembangunan di Sook — termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik, dan kebajikan rakyat — terganggu akibat pergolakan politik.

“Kita sudah lihat perubahan di Sook, dan saya mahu kesinambungan ini terus sampai ke semua kampung,” katanya.

Sementara itu, Ellron turut menyeru rakyat agar bersatu hati dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan atau fitnah politik.

“Nilailah sesuatu dengan mata hati, bukan emosi. Saya kekal bersama GRS kerana saya percaya inilah jalan terbaik untuk membangunkan Sook, membela rakyat, dan menjamin masa depan generasi kita,” katanya.

Majlis Bicara Pemimpin itu turut dihadiri oleh pemimpin akar umbi, ketua masyarakat, serta penduduk setempat yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau dan kerajaan GRS. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE