Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemikir Muda Ketua Menteri peluang belia Sabah tambah baik dasar kerajaan

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri disifatkan sebagai platform baharu yang membuka laluan lebih luas kepada belia Sabah untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar dan polisi pembangunan kerajaan negeri.

Abqaree Fawwaz

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, platform yang bakal diterajui golongan intelektual muda itu akan berperanan sebagai pengkaji dan penasihat kepada Ketua Menteri dalam hal berkaitan dasar serta pembangunan belia di Sabah.

“Selama ini jurang komunikasi dan ketiadaan saluran rasmi menyebabkan pandangan anak muda jarang diterjemahkan dalam bentuk dasar yang sebenar.

“Penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri ini bukan sekadar wadah bersuara, tetapi menjadi mekanisme rasmi untuk setiap kritikan, cadangan dan idea inovatif anak muda diperhalusi serta diterjemahkan menjadi dokumen dasar yang nyata.

“Ia juga memberi rasa pemilikan kepada golongan belia terhadap hala tuju negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) yang turut diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Sabtu lalu, Abqaree berkata badan tersebut akan menyelaras dan memperkukuh pelaksanaan program pembangunan belia di seluruh negeri.

Menurutnya, sebelum ini banyak inisiatif belia dijalankan oleh pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun pelaksanaannya sering bersifat ‘ad hoc’ dan tidak bersepadu.

“Akibatnya, sumber menjadi terpecah dan usaha membangunkan belia gagal mencapai kumpulan sasaran, terutama dalam isu kebolehpasaran kerja dan peningkatan kemahiran.

“MTBS akan berfungsi sebagai badan penyelaras utama untuk memastikan setiap program latihan, keusahawanan dan kesejahteraan belia dilaksanakan secara strategik di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.

Pada Sabtu, Hajiji mengumumkan dua inisiatif baharu iaitu Pemikir Muda Ketua Menteri dan MTBS bagi memperkukuh penyertaan belia dalam pembangunan negeri serta menambah baik dasar berkaitan generasi muda Sabah.

LEAVE A RESPONSE