Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Lima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang meninggalkan parti mempunyai dua pilihan, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
“Mereka ada dua pilihan, jika mereka ingin bertanding dan dipilih sebagai calon. Pertama, mereka menganggotai mana-mana parti dalam GRS. Kedua, jika tidak menganggotai parti komponen, mereka boleh mandaftar ahli GRS macam saya dan boleh bertanding,” tegasnya.
Armizan menjelaskan, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadikan isu lompat parti tidak lagi berbangkit kerana mandat telah dikembalikan kepada rakyat.
“Isu ADUN itu saya rasa sudah tidak berbangkit sebab DUN sudah dibubar. Jadi, tidak timbul soal lompat-lompat kerana mereka akan kembali kepada rakyat. Apa yang saya maklum, mereka akan bersama dengan GRS,” katanya.
Sebelum ini, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan lima ADUN parti itu.
Mereka ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Jeffrey berkata, penerimaan surat itu menyebabkan keahlian mereka gugur secara automatik, termasuk jawatan dalam parti.