Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Koperal PGA Ditahan Bantu Siasatan Kes Tembakan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam

Read Time:1 Minute, 36 Second

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam yang berlaku bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia dalam lingkungan 30-an yang bertugas di bahagian perisikan sempadan itu ditahan pada 5 Mac oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan tersebut.

“Anggota ini sudah kira-kira dua tahun bertugas di kawasan sempadan dan merupakan anggota perisikan. Kita menahannya bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander AKPS,” katanya Lapor Astro Awani

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap anggota berkenaan turut mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.

Bagaimanapun, katanya, penahanan itu bukan berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah, sebaliknya bagi membantu siasatan kes tembakan berkenaan.

Hasil siasatan awal juga mendapati anggota terbabit mempunyai hubungan rapat dengan individu yang dipercayai ahli sindiket yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Menurut Adzli, siasatan mendapati suspek dipercayai berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

“Maklumat awal menunjukkan suspek berkawan rapat dengan ahli sindiket terbabit dan dipercayai pernah bersama-sama mengambil dadah.

“Sehubungan itu, polis tidak akan berkompromi dan menahan anggota berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, anggota terbabit bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas tempoh remannya tamat.

Tambahnya, polis akan memohon perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek terus memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dipercayai ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali.

Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

LEAVE A RESPONSE