Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Kecuaian pemandu punca kemalangan kereta api langgar motor troli di Tenom

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Kecuaian pemandu kereta api (railbus) dikenal pasti sebagai punca insiden perlanggaran antara sebuah kereta api dengan motor troli di landasan berhampiran Tenom pada 3 Mac lalu.

Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan dalaman melalui Board of Enquiry (BOE) pada 9 Mac mendapati pemandu Railbus RB8801 gagal menjalankan pemeriksaan ke atas jentera sebelum memulakan perjalanan.

Kenyataan itu menyebut, pemandu berkenaan juga tidak menutup ‘isolating valve’ pada Tenom End Driving Cab serta tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.

“Kecuaian itu menyebabkan sistem brek Railbus RB8801 tidak berfungsi sepenuhnya sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli di KM134/4 ketika perkhidmatan sedang beroperasi dari Stesen Tenom,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun JKNS berkata, selepas Railbus berhenti di KM133/8, pemandu telah memeriksa serta membetulkan kedudukan ‘isolating valve’ sebelum menjalankan ujian pandu yang mendapati sistem brek kembali berfungsi dengan baik.

Tambah JKNS, Railbus berkenaan kemudiannya berjaya kembali ke Stesen Tenom tanpa memerlukan bantuan atau ditarik oleh jentera lain.

“Pemeriksaan lanjut oleh Penolong Jurutera sejurus jentera itu tiba di stesen turut mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya,” menurut kenyataan itu di sini.

JKNS memaklumkan perkhidmatan keretapi kembali beroperasi seperti biasa pada 4 Mac menggunakan jentera yang sama dan setakat ini Railbus RB8801 beroperasi tanpa sebarang masalah.

Jelasnya, siasatan BOE dijalankan secara menyeluruh meliputi laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) pada jentera, serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.

“Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Badan Penyiasatan Dalaman JKNS, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 [Tatakelakuan Perkara 208(2)(j)] kerana cuai dalam menjalankan tugas.

“JKNS akan melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh prosedur operasi serta meningkatkan pematuhan terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang,” tambahnya.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan bahawa perkhidmatan keretapi yang beroperasi ketika ini adalah selamat untuk digunakan oleh orang awam.

Menurut JKNS, berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, kawasan rezab keretapi merupakan kawasan larangan dan sebarang aktiviti di kawasan landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS.

Penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di atas landasan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan kerana boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi keretapi.

Insiden perlanggaran tersebut turut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026.

LEAVE A RESPONSE