KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM10,000 kepada keluarga seorang lelaki warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan awal pagi tadi.
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shahminan Sahari berkata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson telah diarahkan untuk mengesan waris mangsa dan menyalurkan bantuan tersebut secepat mungkin.
Mangsa dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, dilaporkan cuba menghidupkan generator sebuah hotel apabila tanah dari kawasan sekitar runtuh lalu menimbusnya.
Kejadian itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung.
Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah setakat jam 12 tengah hari ini merekodkan seramai 1,306 orang terjejas akibat banjir di Kota Marudu, Paitan dan Pitas, melibatkan 40 buah kampung.






