Read Time:1 Minute, 14 Second
LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengenakan tindakan kompaun terhadap seorang peruncit di kawasan luar bandar Labuan di sini selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan yang dijual di premisnya.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, kesalahan tersebut dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam tugasan Ops Pantau 2026, iaitu operasi pemantauan khas yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan, penguat kuasa mendapati minyak masak botol yang dipamerkan untuk jualan tidak diletakkan tanda harga jualan tunai.

“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
“KPDN mengingatkan peniaga supaya memastikan setiap barangan yang dijual dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat bagi menjamin ketelusan urus niaga serta melindungi kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Junaidah berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, bagi kesalahan berulang, penalti boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan seterusnya.
“KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa demi melindungi kepentingan pengguna,” katanya. – SABAH MEDIA






