Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Masalah pengairan Kg Piasau Dundau dibincang bersama penduduk

KOTA BELUD: Isu pengairan yang menjejaskan penanaman padi di Kampung Piasau Dundau di sini, yang dilaporkan sejak tiga tahun lalu, dibincangkan bersama penduduk dan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian segera.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau turun padang meninjau sendiri keadaan sistem pengairan yang menjadi kebimbangan masyarakat tani di kawasan berkenaan.

Katanya, perbincangan turut diadakan bersama penduduk, kepimpinan tempatan serta wakil jabatan berkaitan bagi mengenal pasti langkah penyelesaian.

Jamawi memberi jaminan para petani dijangka dapat kembali menanam padi pada musim penanaman utama Ogos ini.

“Saya akan datang semula pada Julai bagi memastikan semua perkara yang dibincangkan telah diatur dan dilaksanakan,” katanya ketika melawat kawasan sungai di kampung itu, kelmarin.

Menurutnya, hasil perbincangan itu beberapa langkah penyelesaian jangka pendek telah dipersetujui oleh semua pihak.

Beliau menegaskan perkara paling penting ialah memastikan keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Dalam masa sama, Jamawi turut memohon maaf kepada penduduk sekiranya terdapat kekurangan dalam usaha menangani isu berkenaan sebelum ini dan berjanji akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik.

Terdahulu, Jamawi mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan dan Pembangunan Industri Tanaman Padi Negeri Sabah sebelum mengadakan lawatan ke kawasan sawah padi di Kampung Piasau dan Kampung Tambulion.

LEAVE A RESPONSE