Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Program ‘Bah STEM Dulu!’ perkasa minat murid terhadap bidang STEM

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program ‘Bah STEM Dulu!’ bagi memperkasakan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program anjuran Unit Penyelidikan dan Pendidikan Luar Bandar, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS itu dilaksanakan dengan kerjasama Kelab MySTEM Ambassador UPM serta Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (MAPENSU) di beberapa sekolah sekitar Tuaran, Kota Kinabalu dan Ranau.

Dekan FPPS UMS, Profesor Madya Dr Soon Singh Bikar Singh berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid terhadap bidang STEM melalui aktiviti interaktif yang menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.

Menurutnya, kolaborasi antara universiti dan sekolah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah membuka ruang perkongsian ilmu serta pengalaman antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.

“Inisiatif seperti ini mampu memberi inspirasi kepada murid untuk terus meneroka bidang STEM di samping menyokong usaha memperkukuh pendidikan STEM khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar merangkap penasihat program, Profesor Madya Dr Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan minat serta kefahaman murid terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif dan menyeronokkan.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rungus Tuaran, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)’Bandaraya Kota Kinabalu, SK Rampayan Menggatal, SK Pekan Ranau, Tabika KEMAS Pekan Ranau dan SK Lohan Ranau.

Program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti STEM seperti I-Shape by Shape yang memperkenalkan konsep geometri melalui aktiviti reka cipta serta aktiviti ‘Menjelajah Dunia’ menggunakan aplikasi pembelajaran berasaskan haiwan bagi membantu murid mengenali dunia secara interaktif.

Selain itu, aktiviti STEM Race yang merangkumi enam stesen cabaran turut dijalankan bagi menguji kefahaman peserta terhadap konsep matematik, pusat graviti, tekanan, elektronik, prinsip Bernoulli serta daya memusat melalui aktiviti berkumpulan.

Peserta juga mengikuti aktiviti pembelajaran luar kelas termasuk STEMTech di Taman Negara Kinabalu dan STEMTrails di Poring Hot Spring yang memberi pendedahan kepada kepelbagaian biodiversiti serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Selain itu, peserta turut meneroka aplikasi sains dan teknologi dalam sektor penternakan melalui aktiviti di Desa Cattle Dairy Farm serta penggabungan elemen teknologi dan sejarah di Kundasang War Memorial.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

LEAVE A RESPONSE