Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Wanita Sabah digalak manfaatkan sokongan disediakan KWKKR

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Wanita di seluruh Sabah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, digalakkan berhubung dengan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) bagi mendapatkan sokongan dan bantuan berkaitan pelbagai isu yang dihadapi.

Menteri KWKKR, Datuk Julita Majungki berkata, kementerian itu sentiasa terbuka kepada wanita yang memerlukan bantuan, panduan atau sokongan dalam menangani cabaran kehidupan.

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang berada di bawah kementerian tersebut memainkan peranan penting dalam mengendalikan hal ehwal berkaitan wanita serta melaksanakan pelbagai program pemerkasaan.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, termasuk program pembangunan kepimpinan, keusahawanan serta kesejahteraan keluarga yang bertujuan memperkukuh peranan wanita dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis jamuan makan malam sempena sambutan Hari Wanita yang dianjurkan oleh Bahagian Wanita Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Dewan Hakka, di sini, pada Ahad.

Julita berkata, JHEWA turut menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan sokongan termasuk bantuan guaman secara percuma kepada wanita yang menghadapi isu keluarga tetapi tidak mampu mendapatkan khidmat guaman.

“Wanita di bandar mahupun di luar bandar seharusnya mempunyai akses yang sama kepada sokongan dan bantuan. Sekiranya terdapat isu atau perkara yang ingin dibangkitkan kepada kerajaan negeri, mereka amat dialu-alukan untuk berhubung dengan kementerian atau jabatan berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kementerian yang diterajuinya tidak terhad kepada mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya berkhidmat untuk seluruh rakyat Sabah.

“Kementerian yang saya terajui hari ini sebenarnya telah lama diwujudkan, namun pada penggal ini kerajaan negeri membuat keputusan untuk menamakan semula kementerian ini sebagai Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat bagi mencerminkan dengan lebih jelas fokus serta tanggungjawabnya.

“Dan kementerian ini bukan hanya untuk satu kelompok masyarakat sahaja. Ia adalah kementerian untuk seluruh rakyat Sabah dan kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin berhubung dengan kami berkaitan hal ehwal wanita, kesihatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Julita berkata, KWKKR kini menyelia tiga bidang utama iaitu wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Beliau menambah kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta bagi memastikan usaha memperkasa wanita dapat dilaksanakan secara berterusan.

Turut hadir, Presiden FCAS Tan Sri TC Goh dan Ketua Bahagian Wanita FCAS Haw Yong Sai.

LEAVE A RESPONSE