1,200 mahasiswa Sabah sertai program berbuka puasa KYS, platform interaksi dengan Kerajaan Negeri
Read Time:2 Minute, 16 Second
KUALA LUMPUR: Program berbuka puasa anjuran Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) yang menghimpunkan lebih 1,200 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah di Semenanjung menjadi platform penting bagi mengeratkan interaksi antara pimpinan kerajaan negeri dan mahasiswa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, program tahunan itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menyediakan ruang komunikasi dua hala antara kerajaan negeri dan pelajar.
Beliau berkata, platform tersebut membolehkan agensi kerajaan negeri menjelaskan dasar serta program yang dilaksanakan, selain memberi peluang kepada mahasiswa menyampaikan pandangan dan cadangan mereka secara langsung.
“Program ini menyediakan ruang interaksi secara langsung antara pimpinan kerajaan negeri dengan mahasiswa.
“Pada masa yang sama, ia menjadi platform komunikasi dua hala bagi membolehkan agensi kerajaan negeri menjelaskan dasar serta menilai keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Mahasiswa juga berpeluang mengemukakan pandangan serta cadangan mereka, termasuk melalui sesi forum yang dilaksanakan dalam program seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran KYS di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Armizan berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan subsidi pengangkutan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan terus memberi manfaat kepada puluhan ribu mahasiswa Sabah dalam usaha meringankan beban kos sara hidup.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk inisiatif bantuan Graduan Rindu Sabah (GRS) atau subsidi tiket penerbangan (GRS Subfly); Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Subsidi Tiket Penerbangan Untuk Pelajar IPT (FlySiswa) yang memberi bantuan kepada pelajar Sabah yang menuntut di dalam serta luar negeri.
Menurutnya, program GRS SubFly yang diperkenalkan kerajaan Sabah pada 2024 menyediakan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di luar negeri termasuk di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan.
“Bagi tahun 2025, seramai 19,505 pelajar Sabah menerima manfaat melalui program GRS SubFly. Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan program Sentosa iaitu bantuan subsidi pengangkutan kepada pelajar Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi dalam negeri ini, dengan jumlah penerima seramai 22,649 orang,” katanya.
Armizan berkata, selain bantuan kerajaan negeri, pelajar Sabah turut menerima manfaat daripada program FlySiswa yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan.
Katanya, program itu mula dilaksanakan pada 2023 dengan bantuan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM300 sebelum ditambah baik kepada RM400 tahun lalu dalam bentuk baucar digital.
“Bagi tahun 2025, seramai 25,289 pelajar Sabah menerima manfaat melalui program FlySiswa. Ini bermakna pelajar Sabah yang menuntut di luar negeri kini boleh menerima sehingga RM1,000 bantuan pengangkutan hasil gabungan subsidi kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga bercadang menambah baik pelaksanaan program GRS SubFly dengan sasaran memperluaskan bantuan itu kepada sehingga 35,000 pelajar pada masa akan datang.
Katanya, pelaksanaan pelbagai bantuan ini mencerminkan pendekatan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, khususnya golongan mahasiswa.






