Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Penubuhan PADU perkukuh sistem kesihatan awam Sabah

Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Penubuhan Pusat Respiratori Pantai Timur (PADU) di Hospital Tawau disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh sistem kesihatan awam Sabah, khususnya dalam usaha membanteras penyakit respiratori yang masih menjadi cabaran besar di kawasan luar bandar.

Isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Mutiara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datin Seri Juliah Salag berkata, kemudahan baharu itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat di luar bandar tidak tercicir daripada mendapat akses rawatan berkualiti.

“Penubuhan PADU ini amat signifikan kerana ia bukan sekadar menambah baik prasarana kesihatan, tetapi juga memperluas akses rawatan kepada pesakit respiratori dan tuberkulosis (TB), khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan PADU di Hospital Tawau di sini, pada Ahad.

Pelancaran itu turut dihadiri oleh Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad serta wakil agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Beliau berkata, Tawau merupakan antara daerah yang mencatatkan jumlah pesakit Tibi tertinggi di negeri ini, namun kekurangan kemudahan rawatan menyebabkan ramai pesakit terpaksa ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan.

“Dengan adanya PADU di Tawau, pesakit kini dapat menerima rawatan lebih cepat dan selamat tanpa perlu menanggung beban perjalanan jauh serta kos tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Loh Su Fui turut menyifatkan pembukaan PADU sebagai pencapaian besar bagi masyarakat setempat kerana Hospital Tawau kini menjadi hab perubatan Pantai Timur Sabah, meliputi Kalabakan, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan, merangkumi lebih sejuta penduduk.

“Inisiatif ini terlaksana atas sokongan penuh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang sentiasa memberi perhatian kepada keperluan kesihatan rakyat. Saya juga berterima kasih kepada Dewan Perniagaan Tionghua Tawau dan Syarikat Sengalong atas sumbangan mereka,” katanya.

Tambahnya, beliau akan terus memperjuangkan peruntukan tambahan di peringkat Parlimen bagi memastikan kemudahan kesihatan di Tawau terus dipertingkat dan setanding dengan keperluan semasa. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE