Read Time:1 Minute, 11 Second
TUARAN: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh komitmen kebajikan terhadap masyarakat dengan menganjurkan Program Penyerahan Bakul Makanan kepada golongan asnaf sempena Ramadan, melibatkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Tuaran.
Program yang diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, di sini, disempurnakan Ketua Wanita GRS Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, yang turut menyampaikan bakul makanan kepada para penerima.
Turut hadir Ketua Wanita PCS, Simi Linggom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Penolong Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia ABT; serta Penyelaras Wanita GRS Parlimen Kota Belud, Nurul Fadzilah Noordin.
Hadir sama Penyelaras Wanita GRS Parlimen Tuaran, Datuk Jamaliah Antalip bersama barisan EXCO Wanita GRS.
Program itu turut disertai penyelaras Wanita GRS di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ahli-ahli Wanita GRS dari kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan.
Dalam ucapannya, Azizah berkata kepimpinan wanita bukan sahaja perlu kukuh dari segi organisasi, malah harus berteraskan nilai kasih sayang, empati serta semangat kebersamaan dalam mendekati masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata bulan Ramadan merupakan masa terbaik untuk memperkukuh amalan kebajikan selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan memerlukan, malah memperkukuh semangat perpaduan serta memperluas peranan Wanita GRS dalam mendekati masyarakat,” katanya.
Program itu berlangsung dalam suasana penuh kebersamaan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam melaksanakan aktiviti kebajikan serta memperkukuh perjuangan GRS.






