Read Time:1 Minute, 41 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) akan diperkukuh di semua majlis daerah dan majlis perbandaran di negeri ini bagi memastikan aspek integriti, ketelusan serta tadbir urus yang baik dapat diperkasakan dalam pentadbiran kerajaan tempatan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pelaksanaan sistem itu akan diselaras oleh Setiausaha Tetap kementerian dan dilaksanakan melalui ketua-ketua eksekutif di setiap pihak berkuasa tempatan.

“Kita akan menyelaraskan pelaksanaan ABMS ini di seluruh daerah melalui ketua-ketua eksekutif majlis daerah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri dan Berbuka Puasa bersama warga Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di sini pada Khamis.
Hadir sama Pembantu-Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Maijol Mahap dan Datuk Fairuz Renddan.
Majlis itu turut dihadiri warga KKTP di 26 majlis daerah dan majlis perbandaran seluruh Sabah.

Arifin berkata, melalui pelaksanaan sistem itu, semua agensi dan pihak berkuasa tempatan di bawah kementerian diharap dapat meningkatkan tahap integriti serta memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Arifin menegaskan keperluan semua warga di bawah KKTP untuk terus meningkatkan prestasi serta menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, secara keseluruhan majlis daerah dan majlis perbandaran di negeri ini telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik, namun penambahbaikan perlu diteruskan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
“Setakat ini saya melihat di daerah-daerah, majlis daerah dan majlis perbandaran yang berada di bawah KKTP telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Tinggal kita menambah baik perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.
Selain itu, Arifin berkata kementeriannya juga merancang mengadakan jelajah ke seluruh daerah bagi mengadakan sesi taklimat, suai kenal serta mengeratkan hubungan dengan warga pentadbiran tempatan.
Katanya, jelajah berkenaan akan dilaksanakan bersama agensi hal ehwal Islam termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), selain KKTP sendiri.
“Melalui program ini kita akan mengadakan beberapa aktiviti termasuk taklimat, program kemasyarakatan serta sesi bermuhibah bersama rakan-rakan di majlis daerah dan majlis perbandaran,” katanya. – SABAH MEDIA





