Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pemanah Kota Kinabalu diseru terus raih pingat, kekal disiplin dan jauhi gejala negatif


Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Semua atlet memanah Daerah Kota Kinabalu diseru supaya terus meraih pingat di setiap kejohanan disertai, di samping mengekalkan disiplin tinggi, mengutamakan keselamatan dan menjauhi gejala negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Seruan itu disampaikan Presiden Persatuan Memanah Daerah Kota Kinabalu, Datuk Ram Singh ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 persatuan berkenaan yang diadakan di Lapang Sasar Memanah Likas, Padang SUKMA, di sini, baru-baru ini.

Dalam mesyuarat itu, beliau sekali lagi mengekalkan jawatan sebagai Presiden bagi penggal baharu, dengan majoriti ahli jawatankuasa turut mengekalkan portfolio masing-masing. Kartini Kamis dipilih sebagai Timbalan Presiden, Clarence Jews sebagai Naib Presiden, Shiu Vay Leung sebagai Setiausaha Agung dan Stephanie Chin Wei Ling sebagai Bendahari.

Tujuh ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Eugenius Lo Foh Soon, Elaine Van Shuk Lei, Chaw Ken Wee, Tony Quik Boon Seong, Fredoline Modius serta dua muka baharu, Ruby Tsen Swee Sen dan Natalie Chow. Rebecca Chiew Hua Sze dan Veronica Wong Vui Li dilantik sebagai Juruaudit Dalaman, manakala Paul Leong dan Sunny Tan kekal sebagai penasihat persatuan.

Dalam ucapannya, Ram merakamkan penghargaan kepada semua ahli, ibu bapa, jurulatih dan atlet atas sokongan, perpaduan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tahun 2025 dalam menjayakan pelbagai aktiviti dan program persatuan.

Sebagai Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah, beliau berkata tanggungjawabnya termasuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Majlis Sukan Negeri, Lembaga Sukan Negeri Sabah serta semua persatuan daerah bernaung bagi memastikan dana atau geran yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk penganjuran, pelaksanaan dan pembangunan sukan memanah di negeri ini.

Ram turut mengucapkan tahniah kepada semua pemanah negeri atas pencapaian cemerlang dalam kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan sepanjang tahun lalu, termasuk Sabah Open, Sirkit Kebangsaan, Sirkit Para, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia.

Beliau menegaskan aspek keselamatan di lapang sasar perlu sentiasa dipatuhi, selain mengingatkan atlet agar menjauhi dadah serta sebarang aktiviti jenayah yang boleh merosakkan kerjaya dan reputasi sukan memanah.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Kartini berkata tahun 2026 dijangka menjadi tempoh yang sibuk dan mencabar buat persatuan berikutan penganjuran SUKMA 2026 di Selangor pada Ogos ini. Sebelum itu, salah satu pusingan Sirkit Kebangsaan akan berlangsung di Kota Kinabalu pada Julai depan.

Beliau menyeru semua Persatuan Memanah Daerah agar terus bekerjasama dalam memastikan kelancaran penganjuran setiap kejohanan, selain menasihati pemanah negeri supaya meningkatkan intensiti latihan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

LEAVE A RESPONSE