Read Time:1 Minute, 16 Second
KOTA KINABALU: Sabah FC bertekad mencipta kelebihan awal apabila turun menentang Perak FA dalam aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup 2025/26 di Stadium MP Manjung, malam ini.
Ketua jurulatihnya, Juan Torres Garrido berkata, fokus utama pasukan ketika ini adalah memastikan keputusan positif dapat dibawa pulang sebelum aksi timbal balik di laman sendiri.
Menurutnya, walaupun berdepan jadual padat dan tempoh persiapan yang singkat, barisan pemain menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan bagi memastikan perancangan taktikal dapat diterjemahkan dengan baik di atas padang.
“Kita ambil satu perlawanan pada satu masa. Sasaran utama adalah membina konsistensi dan memastikan pasukan berada pada tahap terbaik,” katanya.
Garrido mengakui Perak bukan lawan mudah, apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri.
Katanya, berdasarkan analisis teknikal, skuad lawan memiliki organisasi permainan yang kemas serta berbahaya dalam situasi serangan balas pantas.
“Mereka pasukan yang solid dan tersusun. Kita perlu berdisiplin serta tidak memberi ruang untuk mereka melakukan transisi dengan cepat,” jelasnya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut menegaskan format dua perlawanan tidak mengubah pendekatan asas pasukan, sebaliknya tumpuan penuh diberikan kepada 90 minit pertama di Manjung.
Ini merupakan aksi kedua beliau mengemudi Sabah selepas penampilan sulung dalam saingan Liga Super minggu lalu.
Beliau melahirkan keyakinan terhadap perkembangan positif skuad yang semakin memahami falsafah permainan diterapkannya.
“Saya puas hati dengan sikap dan mentaliti pemain. Kelaparan untuk menang serta keinginan tinggi adalah elemen penting dalam perlawanan besar seperti ini,” ujarnya.
Sabah dijadual kembali beraksi bagi perlawanan kedua di Stadium Likas dan berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk mengesahkan tempat ke pentas final






