Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemimpin prihatin kekal, kemudahan mesra OKU di setiap daerah – Harapan OKU

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan turun menunaikan hak mereka di peti undi menaruh harapan besar agar setiap daerah di Sabah mesra OKU dengan kemudahan lengkap serta menyokong keupayaan mereka untuk berdikari.

Di Penampang, Francis Xavier@ Oliver Putut menegaskan bahawa golongan OKU tidak menilai parti semata-mata, tetapi kepimpinan yang benar-benar membela nasib mereka.

“Saya tidak kisah siapa jadi kerajaan, yang penting ada menteri atau pemimpin yang tegas membela nasib OKU,” katanya.

Beliau turut menghargai pemimpin yang rajin turun padang dan cepat bertindak menyelesaikan isu rakyat, sambil berharap projek pembangunan seperti pasar dan tamu baharu di Bandar Donggongon turut mengambil kira akses untuk golongan OKU.

Francis berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog yang terpilih pada pilihan raya kali ini mempunyai ciri-ciri pemimpin yang mesra rakyat serta bertanggungjawab kepada pengundi seperti Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah memerlukan garis panduan pembangunan yang lebih jelas agar golongan OKU tidak terpinggir, khususnya di kawasan bandar.

Sementara itu di Tawau, Abdul Khamis Laharuso menyuarakan harapan yang sama agar kerajaan akan datang lebih telus dalam menyediakan kemudahan serta peluang kepada golongan OKU.

“Kemudahan untuk OKU perlu dipertingkatkan supaya kami boleh berdiri sendiri tanpa bergantung bantuan sepanjang masa,” katanya, sambil memuji pemimpin seperti Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang disifatkannya sebagai prihatin dan mudah membantu rakyat.

Beliau berharap kerajaan akan merangka dasar komprehensif yang merangkumi penyediaan laluan khas, akses bangunan, sokongan pekerjaan dan peluang ekonomi agar golongan OKU tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Golongan OKU menegaskan bahawa Sabah bukan sahaja memerlukan kerajaan yang stabil, tetapi kerajaan yang benar-benar memahami keperluan semua lapisan masyarakat, termasuk OKU.

LEAVE A RESPONSE