KOTA KINABALU: Seramai 10 anak yatim, 10 asnaf serta lima masjid sekitar bandar raya ini menerima sumbangan berupa baju dan wang tunai pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berlangsung di Magellan Sutera Resort, malam ini.
Majlis penuh keberkatan itu diserikan dengan keberangkatan hadir Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin.
Turut hadir ialah, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu-Pembantu Menteri serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah.
Keberangkatan tiba Tun Musa dan isteri pada jam 6 petang disambut oleh pengurusan tertinggi DBKK serta pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada kumpulan penerima sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial DBKK sempena Ramadan, diikuti tazkirah dan bacaan doa.
Tepat jam 6.29 petang, para hadirin berbuka puasa bersama sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Para tetamu kemudiannya menikmati jamuan makan malam yang diserikan dengan persembahan selingan, sebelum bersama-sama menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih serta moreh.
Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen DBKK dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh ukhuwah serta menyantuni golongan memerlukan di Kota Kinabalu sepanjang bulan Ramadan.







