Read Time:1 Minute, 18 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Wanita DAP Sabah menegaskan komitmen untuk kekal bersatu dan memperkukuh kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sambil menyatakan sokongan terhadap pelan strategik “6-3-3” yang menampilkan 12 calon wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Ketua Wanita DAP Sabah, Bronica Sikula, berkata pelan tersebut mencerminkan kesungguhan PH Sabah menunaikan komitmen terhadap penyertaan 30 peratus wanita dalam politik, hasil usaha berterusan selama dua tahun di peringkat akar umbi.
“Penyertaan wanita bukan sekadar memenuhi kuota, tetapi memperkayakan dasar awam dengan pandangan lebih menyeluruh dan berimbang, termasuk dalam isu keluarga, pendidikan, kesihatan dan pembangunan mapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Penyertaan wanita bukan sekadar memenuhi kuota, tetapi turut memperkayakan dasar awam dengan pandangan yang lebih menyeluruh dan seimbang khususnya dalam isu keluarga, pendidikan, kesihatan dan pembangunan mapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai keputusan bekas ahli parti, Liau Fui Fui, untuk meninggalkan DAP bersama cawangannya baru-baru ini, Bronica berkata Wanita DAP Sabah menghormati keputusan tersebut dan menghargai sumbangan beliau terhadap perjuangan parti selama ini.
Bronica menegaskan perkembangan itu tidak akan melemahkan semangat ahli wanita DAP Sabah, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus bekerja lebih gigih dalam memperkukuh parti dan kepercayaan rakyat.
“Setiap cabaran memberi peluang untuk kita memperkukuh perpaduan dan memperbaharui tekad perjuangan. Kami kekal teguh dalam memperjuangkan prinsip keadilan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Bronica turut menyatakan keyakinan bahawa barisan wanita DAP Sabah akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan suara wanita kekal menjadi teras kepada masa depan politik Sabah yang lebih adil, progresif dan sejahtera.