Read Time:3 Minute, 52 Second
oleh Wan Azrain Adnan
KOTA KINABALU – Sabah terus menikmati peruntukan besar di bawah Belanjawan Malaysia 2026, menggambarkan kerjasama erat dan kesefahaman kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Menurut analisis, peruntukan yang meningkat itu akan melonjakkan momentum pembangunan ekonomi dan sosial Sabah, seiring dengan matlamat membina negeri maju dan makmur di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Belanjawan 2026: Fokus Pembangunan dan Reformasi Rakyat
Perdana Menteri Malaysia semalam membentangkan Belanjawan Malaysia 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat”, dengan fokus kepada pemulangan hasil reformasi kepada rakyat.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan yang diumumkan adalah RM470 bilion, meningkat 3.9% atau RM18 bilion berbanding tahun sebelumnya (RM452 bilion, 2025).
Peruntukan itu merangkumi tiga komponen utama:
- RM338.2 bilion (71.9%) – perbelanjaan mengurus;
- RM81 bilion (17.2%) – perbelanjaan pembangunan;
- RM50 bilion (10.6%) – pelaburan GLC, sektor awam–swasta dan agensi berkaitan Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Belanjawan ini juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13: 2026–2030) yang akan mencorakkan hala tuju pembangunan negara termasuk negeri Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sabah Terima RM6.9 Bilion – Peningkatan 33% dalam Lima Tahun
Sabah muncul sebagai penerima peruntukan terbesar di negara ini berjumlah RM6.9 bilion, meningkat RM200 juta atau 3% berbanding tahun sebelumnya (RM6.7 bilion, 2025).
Dalam tempoh lima tahun (2022–2026), Sabah mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 33% daripada RM5.2 bilion kepada RM6.9 bilion.
Belanjawan | 2022 | 2023 | 2024 | 2025 | 2026 |
Jumlah Peruntukkan | RM 5.2 bilion | RM 6.5 bilion | RM 6.6 bilion | RM 6.7 bilion | RM 6.9 bilion |
Peningkatan besar ini membuktikan hubungan erat serta persefahaman strategik antara kedua-dua kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan negeri.
Geran Khas Tahunan Sabah Meningkat Lebih 1,000%
Kerjasama ini turut menghasilkan peningkatan ketara Geran Khas Tahunan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah — daripada hanya RM53.4 juta pada 2020 kepada RM600 juta mulai 2024 hingga 2026, mencatat lonjakan melebihi 1,000%.
Tahun | 2020 | 2022 | 2023 | 2024 | 2025 | 2026 |
Jumlah Geran | RM 53.4 juta | RM 125.6 juta | RM 260 juta | RM 300 juta | RM 600 juta | RM 600 juta |
Walaupun begitu, jumlah ini masih jauh daripada kadar 40% hasil negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan anggaran semasa, Sabah sepatutnya menerima sekitar RM4 bilion setahun, bergantung kepada pelaksanaan menyeluruh hasil rundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Projek Pembangunan Utama di Sabah
Peruntukan besar ini turut meliputi pelbagai projek utama di Sabah yang merangkumi aspek infrastruktur, keselamatan, pendidikan, kesihatan serta ekonomi rakyat.
Infrastruktur & Kemudahan Awam
- RM1 bilion menangani isu bekalan air;
- RM1.2 bilion bagi menjamin bekalan elektrik termasuk subsidi tarif, bahan api dan solar berskala besar;
- RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link di Pantai Timur melibatkan 230,000 pengguna;
- Naik taraf Kolam Pengoksidaan Inanam kepada Loji Rawatan Kumbahan Serantau;
- Penggantian paip usang dan naik taraf sistem agihan air di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Keterhubungan Fizikal & Digital
- RM1.67 bilion untuk projek Pan Borneo Sabah (empat pakej Fasa 1A telah siap);
- Surat Setuju Terima (SST) bagi Lebuhraya Trans Borneo (LTB) akan dikeluarkan seawal Suku Pertama 2026;
- Pembinaan jalan baharu Kalabakan–Simanggaris di sempadan Malaysia–Indonesia;
- RM2 bilion bagi Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) sepanjang 3,190 km bagi memperkukuh manfaat digital Sabah–Sarawak–Semenanjung.
Keselamatan & Ketenteraman Awam
- Pembinaan Kompleks Zon Maritim Kudat;
- Penggantian Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah dengan Multi-Purpose Command Platform baharu;
- Pembinaan kuarters baharu untuk anggota ESSCOM di Lahad Datu.
Pendidikan & Kesihatan
- Pembinaan tiga sekolah baharu: SK Sri Apas Jaya (Tawau), SK Sabandar (Tuaran), dan SK Alam Mesra (Kota Kinabalu);
- RM220 juta untuk membangunkan semula bangunan IPG Kampus Gaya;
- Pembinaan sebuah Kolej Vokasional baharu;
- Penubuhan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II;
- Klinik Kesihatan baharu di Nabawan;
- Perluasan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) ke Sabah.
Sokongan Ekonomi & Komuniti
- RM250 juta untuk menanggung kos pengedaran barang asas di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak;
- RM20 juta untuk menambah tapak niaga bagi peniaga kecil Tamu Desa di kedua-dua negeri.
Manfaat Tambahan kepada Rakyat Sabah
Selain projek khusus negeri, rakyat Sabah turut menikmati pelbagai inisiatif nasional seperti:
- Bantuan RM4,300 sehektar untuk pesawah padi;
- Dana RM3 bilion HRD Corp bagi 3 juta peluang latihan sektor digital dan teknologi tinggi;
- Pinjaman mikro RM2.5 bilion melalui BSN dan TEKUN;
- RM6 bilion untuk peluang pendidikan Bumiputera.
Selaras dengan Agenda Sabah Maju Jaya
Peruntukan besar ini akan menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada Mac 2021, yang telah menunjukkan pelbagai kejayaan memberi manfaat terus kepada rakyat negeri ini.
“Kerjasama dan kesefahaman sedia ada perlu diteruskan serta diperkukuh demi kesinambungan pembangunan. Seperti pepatah Inggeris, ‘don’t change horses in midstream’, penukaran dasar dan kepimpinan kerajaan tatkala agenda pembangunan sedang menghasilkan kejayaan adalah suatu perkara yang tidak wajar serta berisiko tinggi.