Read Time:1 Minute, 34 Second
KOTA KINABALU : Seramai 5,730 murid melibatkan 533 guru dan 96 anggota kumpulan pelaksana (AKP) dilaporkan terjejas banjir dan terputus hubungan di tiga daerah di Sabah sejak semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, ia membabitkan sejumlah daripada 52 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Beluran; Pitas dan Sipitang.

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 16 buah sekolah rendah di Beluran melibatkan 2,575 murid dan 252 guru serta 54 AKP terjejas akibat banjir.
“Di Pitas pula, enam sekolah terjejas banjir dengan jumlah 2,029 murid, 187 guru dan 29 AKP. Selain itu, empat sekolah di daerah berkenaan turut dilaporkan terputus hubungan jalan, melibatkan 1,068 murid, 84 guru dan 13 AKP.
“Manakala di Sipitang, sebuah sekolah dilaporkan terjejas banjir membabitkan 58 murid dan 10 guru,” katanya.
Sementara itu, Raisin berkata, pihaknya telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kelas ganti serta pemantauan rapi terhadap pelaksanaan sesi persekolahan murid yang terjejas banjir.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka kelas persekolahan seperti biasa, walaupun sesetengah sekolah masih terlibat dengan proses pembersihan akibat banjir.
“Sekolah yang terlibat masih dalam proses pembersihan, jadi kelas ganti mesti dilaksanakan. Saya telah meminta setiap PPD untuk memastikan bilangan hari murid tidak hadir dicatat dengan tepat.
“Ada dua sebab utama ketidakhadiran: pertama, sekolah itu sendiri ditenggelami banjir dan tidak boleh beroperasi, kedua, laluan ke sekolah berkenaan turut dilanda banjir,” katanya.
Beliau menambah, pihak PPD juga diarahkan untuk memantau pelaksanaan kelas ganti agar ia berjalan dengan sempurna dan murid-murid tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Dalam masa yang sama, murid yang terkesan banjir akan menerima bantuan keperluan persekolahan melalui Program WeHelp, yang akan diselaraskan oleh PPD di daerah terlibat.






