Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila seramai 3,685 penduduk daripada 1,593 keluarga di tiga buah daerah di negeri ini dilaporkan terjejas setakat jam 8 pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 18 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) diaktifkan di Kota Marudu; Pitas dan Paitan membabitkan keseluruhan 47 kampung.
Kota Marudu mencatat jumlah tertinggi dengan 1,978 mangsa daripada 925 keluarga melibatkan 12 kampung, dan trend mangsa dilaporkan meningkat.
Pitas merekodkan seramai 1,515 mangsa daripada 593 keluarga melibatkan 30 kampung dengan keadaan kekal, manakala Paitan mencatat 192 mangsa daripada 75 keluarga membabitkan lima kampung dan menunjukkan peningkatan.
Sebanyak 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di ketiga-tiga daerah berkenaan. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Di Kota Marudu, empat PPS dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, SMK Tandek, SK Taritipan dan SMK Bandau, dengan sebahagian pusat menunjukkan pertambahan mangsa.
Sementara itu, di Pitas, lapan PPS beroperasi termasuk SK Rukom Ulu, Dewan Majlis Daerah, Dewan Kusilad, Dewan Kabatasan, SK Salimpodon Darat, SK Pekan II; SK Dandun dan Dewan Kg Senaja dengan jumlah mangsa dilaporkan kekal.
Manakala di Paitan, enam PPS turut diaktifkan iaitu di PPS Dewan Binsulung; Masjid Kaindangan; Dewan Serbanguna Kampung Tangkarason; Dewang Kg Sungai-Sungai; Rumah Pengerusi JKKK Kg Cocos dan SMK Pamol.
Pihak berkuasa negeri terus memantau situasi semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS, selaras dengan perkembangan cuaca dan keadaan semasa di kawasan terjejas.






