KOTA KINABALU : Rakyat di negeri ini dipelawa untuk hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah 2026 pada Selasa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, majlis itu akan bermula seawal jam 10 pagi bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Penganjuran majlis ini merupakan antara inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam memupuk semangat perpaduan, toleransi dan keharmonian antara kaum melalui sambutan perayaan secara bersama.
“Ia juga selaras dengan aspirasi membina masyarakat Sabah yang bersatu padu dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jafry berkata, sambutan itu turut diserikan dengan pelbagai juadah serta pengisian kebudayaan.
Katanya, iasekali gus mencerminkan keunikan dan kekayaan warisan budaya negeri Sabah.
Terdahulu, majlis itu dijadual akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. – SABAH MEDIA






