Read Time:1 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran apabila Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary di Kampung Marasinsim, Kota Marudu kini siap sepenuhnya.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, pihaknya kini hanya menunggu kelulusan pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum pusat berkenaan beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, walaupun masih dalam proses kelulusan, sesi pembelajaran secara dalam talian telah pun dimulakan termasuk pengambilan pelajar dari seluruh negeri sebagai persediaan awal.
Beliau berkata, penubuhan pusat latihan itu bukan sahaja memperluas akses pendidikan dakwah, malah membuka ruang kepada pelaksanaan program Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, pusat ini akan menjadi mercu tanda baharu kejayaan USIA dalam melahirkan tenaga mahir berteraskan nilai dakwah dan pembangunan insan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sapawi turut memaklumkan kerja-kerja membaik pulih bangunan USIA)di Sembulan kini memasuki fasa kedua dengan proses sebutharga dijangka dibuka dalam masa terdekat.
Katanya, fasa pertama projek berkenaan telah siap sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurutnya, fasa kedua akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf bangunan berkenaan sebagai pusat pentadbiran rasmi USIA selain melibatkan pembangunan landskap di kawasan persekitaran.
“Pelaksanaan projek setakat ini berjalan lancar dan mengikut perancangan,” katanya.
Bangunan yang terletak di lokasi strategik Bulatan Sembulan itu dibina sejak 1972 dan pernah menjadi pusat pentadbiran utama USIA sebelum sebahagian tingkatnya terjejas akibat kebakaran.
Susulan insiden itu, operasi pentadbiran USIA dipindahkan sementara ke bangunan di 1Borneo sehingga kini.
Majlis pelancaran projek membaik pulih bangunan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama, Dr Mohd Arifin Mohd Arif pada 28 September 2024.
Fasa pertama kerja baik pulih membabitkan kos lebih RM3 juta.






