Read Time:1 Minute, 12 Second
RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir mempersoalkan tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada saat akhir sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Kenapa kita (dalam STAR) tinggalkan GRS sedangkan kita sama-sama membinanya?” katanya, merujuk kepada usaha para pemimpin gabungan itu dalam membina kepercayaan rakyat terhadap GRS sepanjang tempoh lima tahun.
Menurutnya, jika ada niat untuk keluar daripada gabungan tersebut, STAR sepatutnya berbuat demikian lebih awal, misalnya pada tahun 2022, dan bukannya di ambang PRN17 pada Oktober 2025.
“Kenapa pula bila hampir pilihan raya kita keluar? Jadi, kita tidak dapat menyetujui keputusan yang dibuat secara terburu-buru.
“Kita bertekad kekal dalam GRS kerana kita bina rumah ini bersama-sama, dan kita akan jaga rumah kita bersama-sama, bukan meruntuhkannya.
“Apabila saya turun ke kampung, saya selalu menggesa penduduk untuk menyokong kerajaan masa kini iaitu kerajaan GRS. Bayangkan jika saya beralih daripada gabungan, maknanya saya melanggar prinsip asal saya sendiri,” katanya.
Abidin yakin GRS mampu mengekalkan kestabilan politik di Sabah, sekali gus membawa arus pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat kini dan pada masa depan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kejohanan Bola Sepak Tertutup PDM Kepangian/Suminimpod di Padang Bola Sepak Kampung Kepangian, pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Daerah, OKK Muhasip Rauman; Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling; Ketua Pegawai Pembangunan (CDO) Jipili Sigal; pemimpin setempat serta penduduk kampung.