Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Shell perbaharui komitmen laksana program latih juruteknik minyak dan gas Sabah

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) memperbaharui komitmennya untuk terus melaksanakan program “Sabah Petroleum Operations Technicians” (SPOT) menerusi pemeteraian dan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bersama TAS Institute of Oil & Gas (TAS).

MoA itu bagi membangunkan bakat tempatan sebagai juruteknik minyak dan gas bertauliah.

MoA berkenaan ditandatangani pada Majlis Konvokesyen ke-12 TAS di kampusnya di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan disaksikan Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub yang mewakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat, barisan Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat TAS serta rakan pengendali petroleum (PAC) yang menyertai program berkenaan.

Pemeteraian itu menandakan lanjutan program SPOT yang dimulakan SSPC pada 2017 dengan kerjasama TAS. Program yang kini memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya terus menyediakan latihan praktikal secara langsung kepada pelatih terpilih.

Melalui inisiatif itu, lapan pelatih terbaik setiap tahun akan menjalani latihan sambil bekerja selama dua minggu di salah satu daripada dua pelantar laut dalam Shell Malaysia di Sabah iaitu Malikai Tension Leg Platform (TLP) dan Gumusut-Kakap Floating Production System (FPS).

Pendedahan ini memberi pengalaman berharga sebagai persediaan bekerja dan menempuh kehidupan di luar pesisir.

Gumusut-Kakap merupakan pembangunan laut dalam pertama Shell di Malaysia dengan sistem pengeluaran terapung separa tenggelam yang terletak di perairan Sabah pada kedalaman sehingga 1,200 meter.

Malikai pula ialah pelantar jenis tension-leg pertama negara dan yang pertama dibangunkan Shell di luar Teluk Mexico.

Sejak diperkenalkan sedekad lalu, beberapa PAC lain turut melaksanakan SPOT bersama TAS, sekali gus memperluas peluang anak Sabah menimba pengalaman kerja luar pesisir.

Inisiatif itu membantu sebahagian besar graduan TAS mendapatkan pekerjaan di Sabah, seluruh negara malah di peringkat antarabangsa, termasuk sebelum menamatkan pengajian secara rasmi.

Pada majlis berkenaan, graduan Lois Ann Iris Jofri dan Noel Peter George Matthew berkongsi pengalaman serta impak program terhadap kehidupan mereka.

Manakala ibu bapa seperti Kayleen Manuel Ayunini turut berkongsi perubahan positif yang dilalui anak masing-masing hasil penyertaan dalam program itu.

Seramai 58 pelajar menamatkan pengajian sebagai generasi baharu pakar tenaga dengan pencapaian 100 peratus memenuhi syarat kelayakan graduasi.

Pengarah Eksekutif TAS, Datuk Willie Ng berkata pihaknya berbangga memperkenalkan graduan sebagai juruteknik yang bukan sahaja layak di atas kertas, tetapi benar-benar bersedia untuk bekerja, peka terhadap keselamatan dan berteraskan piawaian industri, hasil kerjasama awal bersama SSPC yang menjadi pemangkin penubuhan institut serta pelaksanaan program SPOT.

TAS yang ditubuhkan pada 16 Ogos 2008 menawarkan sijil Tahap Dua dan Tahap Tiga Business and Education Council, United Kingdom (BTEC) dalam program juruteknik kejuruteraan operasi minyak dan gas di kampusnya di luar Kota Kinabalu. Program itu terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan tempoh latihan selama dua tahun bagi memperoleh sijil BTEC Tahap Dua dalam bidang berkenaan.

LEAVE A RESPONSE