Read Time:1 Minute, 13 Second
LABUAN: Seorang peniaga pakaian di sini dikenakan kompaun selepas didapati melanggar peraturan penandaan harga dalam satu pemeriksaan mengejut hari ini.
Tindakan tegas itu diambil susulan operasi pemantauan harian yang dipergiatkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, seiring peningkatan aktiviti jual beli menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, hasil pemeriksaan mendapati peniaga terbabit gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai yang jelas pada pakaian yang dipamerkan untuk jualan.
Menurutnya, kompaun dikeluarkan di lokasi pemeriksaan selepas peniaga mengakui kesalahan tersebut. Kegagalan mempamerkan tanda harga yang jelas dan tepat bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengelirukan pengguna serta membuka ruang kepada amalan ketidakadilan dalam urus niaga.
“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi duatahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya,” jelasnya.
KPDN Labuan menegaskan bahawa pemeriksaan dan pemantauan dijalankan secara konsisten setiap hari dan akan terus dipertingkatkan khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, telus dan mematuhi perundangan sentiasa terpelihara.







