Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sabah perkukuh standard pelancongan menjelang TMM 2026

Read Time:1 Minute, 44 Second

SEMPORNA: Sabah terus mempergiat usaha bagi memperkukuh standard pelancongan dan hospitaliti di negeri ini bagi mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi wajib dikunjungi pelancong domestik dan antarabangsa, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi sesi libat urus bersama pemain industri di kawasan utama pantai timur seperti Tawau dan Semporna bagi mendapatkan maklum balas serta meneliti cabaran operasi secara langsung.

Dalam sesi libat urus di Semporna pada Khamis, Jafry berkata, pengalaman pelawat bukan sahaja bergantung kepada keindahan alam semula jadi Sabah, malah turut ditentukan oleh tahap pengurusan profesional dan sistem sokongan industri yang kukuh.

“Pelawat datang kerana keindahan dan budaya kita, tetapi cara mereka menikmati perkhidmatan yang disediakan adalah sama penting,” katanya.

Beliau diiringi Pembantu Menteri,Dr Andi Md Shamsureezal serta Timbalan Setiausaha Tetap kementerian Mary Malangking.

Jafry berkata, Semporna bersama destinasi utama lain di Sabah kekal sebagai pemacu penting pertumbuhan sektor pelancongan negeri, khususnya dengan peningkatan jumlah pelawat yang konsisten sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengusaha industri agar terus meningkatkan standard perkhidmatan, mengamalkan ketelusan serta memastikan pengalaman yang ditawarkan benar-benar memberi nilai tambah kepada pelancong.

“Kita bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memperkukuh program latihan, menggalakkan amalan terbaik serta mempromosikan pengurusan pelancongan yang bertanggungjawab dan mampan.

“Selaras dengan TMM 2026, inisiatif ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan yang boleh diukur, daripada kualiti perkhidmatan hingga pengurusan destinasi secara bertanggungjawab,” tambahnya.

Terdahulu, Jafry turut mengadakan pertemuan bersama pemain industri di Tawau pada Rabu sebagai sebahagian daripada siri libat urus bersama penggiat pelancongan di pantai timur Sabah.

Sesi berkenaan turut dihadiri wakil Pejabat Daerah masing-masing, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) serta Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain itu, STB mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH) Sabah/Labuan pada 11 Februari bagi menggalakkan dialog berhubung cabaran industri, jangkaan perkhidmatan serta usaha meningkatkan standard hospitaliti di seluruh negeri.

Jafry menegaskan kementerian dan STB kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam menyokong penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi serta pembangunan pelancongan mampan di Sabah. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE