Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Cemburu punca pembunuhan kejam di Menggatal

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Motif cemburu dipercayai menjadi punca kepada kes pembunuhan kejam susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan tempat pembuangan sampah di Indah Permai, Menggatal, pada Khamis (12 Feb).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan satu bahagian anggota badan manusia sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“Hasil siasatan yang dilaksanakan, polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam dengan penahanan seorang suspek utama lelaki warga tempatan berusia 70 tahun.

“Mangsa seorang wanita merupakan pemegang dokumen IMM13 berusia lingkungan 44 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa mempunyai hubungan pertunangan sebelum ini.

“Dalam tempoh pertunangan, mangsa dipercayai menggunakan wang milik suspek berjumlah kira-kira RM7,000. Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak diteruskan apabila mangsa kemudiannya berkahwin dengan lelaki lain.

“Keadaan itu menimbulkan rasa cemburu dan tidak puas hati dalam kalangan suspek sehingga berlaku pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan,” katanya.

Beliau menjelaskan, mangsa bukan isteri orang ketika pertunangan itu berlaku, namun telah berkahwin dengan individu lain dalam tempoh mereka masih bertunang.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, kedua-dua individu terbabit masih berhubung dan mangsa dipercayai datang ke rumah keluarga suspek di sebuah kampung sebelum kejadian berlaku.

“Siasatan mendapati mangsa pergi ke rumah suspek dan berlaku pertengkaran di lokasi berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, suspek dipercayai menggunakan parang dalam kejadian itu dan setakat ini mengaku memotong mangsa.

Polis turut menahan seorang lagi individu, lelaki berusia 19 tahun iaitu anak kepada suspek yang berada di lokasi kejadian ketika pertengkaran berlaku.

“Suspek kedua ditahan kerana berada di tempat kejadian. Mengikut maklumat awal, dia berada di luar rumah ketika insiden berlaku. Pembabitannya masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LEAVE A RESPONSE