Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tiga lagi peniaga dikompaun, KPDN Labuan pergiat pemantauan


LABUAN: Tiga peniaga luar bandar dikenakan kompaun dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan.

Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan pematuhan di premis perniagaan pada Khamis bagi memastikan peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan serta melindungi hak pengguna.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata dua peniaga dikenakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga runcit dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan semula bagi tujuan perdagangan. Pemeriksaan mendapati tempoh sah laku alat timbang tersebut telah tamat pada 24 Julai 2025.

Dalam operasi sama, pemeriksaan ke atas 30 premis perniagaan lain turut mendapati peniaga mematuhi sepenuhnya perundangan yang dikuatkuasakan KPDN.

“KPDN Labuan komited untuk terus memperkasakan pemeriksaan di lapangan secara berterusan.

“Pemeriksaan dan pemantauan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan, bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan serta pengguna dapat menjalankan urusan pembelian dalam suasana perdagangan yang adil dan teratur di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya.

LEAVE A RESPONSE