Read Time:1 Minute, 38 Second
PUTATAN: Sambutan perayaan pelbagai kaum termasuk Tahun Baharu Cina wadah terbaik untuk terus dijadikan simbolik perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa khususnya di Sabah.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sambutan yang diraikan masyarakat Tiong Hua itu bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim, malah menjadi wadah terbaik untuk semua lapisan masyarakat mendalami kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri ini.
Menurutnya, semangat perpaduan yang sekian lama terjalin di Sabah mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri sejajar aspirasi kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“Sudah tentu, dengan adanya perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh masyarakat Cina di Sabah, ia memberikan gambaran jelas mengenai nilai perpaduan yang kita miliki di negeri ini.
“Seperti di Putatan, kita sentiasa komited memberikan perkhidmatan kepada semua lapisan kaum sama ada bumiputera mahupun masyarakat Tiong Hua, tanpa ada yang tercicir.
“Salah satu agenda utama SMJ 2.0 ialah membangunkan sumber manusia secara berterusan. Ini menunjukkan kerajaan amat menitikberatkan pembangunan pendidikan dan latihan berterusan demi masa depan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina 2026 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Shiong, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah (SUCCC), Datuk Micheal Lui Yen Sang; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Hwa Shiong Putatan, Chung Wan Kiong; serta Guru Besar sekolah berkenaan, Chung Tek Fei.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata, kesinambungan sumbangan komuniti dalam bidang pendidikan menjadi teras penting dalam mengukuhkan ikatan antara kaum di Putatan.
Beliau memaklumkan, majoriti pelajar di SJKC Hwa Shiong kini terdiri daripada anak-anak bumiputera Sabah, manakala hanya kira-kira 10 peratus adalah daripada masyarakat Cina.

“Perkembangan ini amat positif dan membuktikan semakin ramai keluarga bumiputera menyedari kepentingan pendidikan aliran Cina serta kelebihan yang boleh diperoleh oleh pelajar.
“Ia secara tidak langsung mencerminkan keterbukaan masyarakat kita serta keyakinan terhadap sistem pendidikan pelbagai aliran di negeri ini,” katanya.






