Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerajaan sedia rangka penyelesaian menyeluruh majukan industri pelancongan Sabah – Jafry


Read Time:2 Minute, 25 Second

TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah komited merangka penyelesaian menyeluruh bagi menangani pelbagai persoalan yang dibangkitkan pemain industri pelancongan negeri, khususnya di Tawau dan Semporna.

Menterinya, Datuk Jafry Arifin berkata, sesi libat urus yang diadakan bersama kementeriannya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Tourism Malaysia Sabah serta Majlis Perbandaran Tawau (MPT) membuktikan kesediaan kerajaan untuk mendengar secara langsung masalah, cadangan dan keperluan penggiat sektor itu.

Beliau berkata, antara isu utama yang dikenal pasti di Tawau ialah kurangnya kerjasama dalam kalangan pemain industri, sekali gus memberi kesan kepada usaha mempromosi produk pelancongan secara lebih kreatif dan tersusun.

“Tawau tidak kurang tempat menarik, cuma kreativiti memasarkan produk perlu dipertingkatkan. Kerjasama dan hubungan rapat dengan kerajaan penting agar sektor pelancongan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas program sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan Tawau, di sini malam tadi.

Program libat urus itu turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap ADUN Tanjung Batu, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal dan disertai pengusaha serta pemain industri pelancongan sekitar Tawau.

Jafry turut mengingatkan bahawa pelbagai insentif dan bantuan kerajaan telah disediakan melalui MOTAC dan terpulang kepada pengusaha untuk memanfaatkannya.

Mengulas cadangan agar kerajaan merealisasikan pembukaan laluan sempadan Serudung–Semanggaris yang berpotensi meningkatkan kemasukan pelancong dan merancakkan ekonomi Tawau, Jafry berkata, projek itu sememangnya sedang dilaksanakan kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan telah memperuntukkan pembinaan jalan sempadan Semanggaris–Tawau bagi menghubungkan Sabah dengan Nusantara, Indonesia. Sektor pelancongan perlu bersiap sedia menyediakan penginapan dan kemudahan untuk menerima kemasukan pelancong,” ujarnya.

Beliau yakin, kedudukan Tawau yang berhampiran Indonesia memberikan kelebihan besar kepada pengusaha tempatan, bukan hanya bergantung kepada pasaran luar seperti China, tetapi juga pelawat dari Indonesia.

Menyentuh isu sejumlah operator pelancongan di Semporna yang beroperasi tanpa lesen, Jafry mengakui perkara itu berlaku akibat pertindihan kuasa antara beberapa jabatan.

Beliau berkata, satu Jawatankuasa Bersepadu telah ditubuhkan dan kini berada di fasa akhir bagi memuktamadkan prosedur serta penyelarasan yang lebih teratur.

“Esok (hari ini) saya akan mempengerusikan mesyuarat akhir di Semporna. Saya dimaklumkan oleh Pembantu Menteri bahawa hampir semua isu telah hampir selesai. Kita mahu win-win situation supaya pengusaha boleh beroperasi secara sah dan pelancong mendapat perkhidmatan setimpal,” jelasnya.

Menurut Jafry, masalah lambakan sampah di Semporna turut menjadi keutamaan dan akan dibincangkan secara tegas dalam mesyuarat jawatankuasa itu.

“Jika perlu buat zon pembersihan, kita akan buat. Saya akan arahkan PBT dan pejabat daerah memastikan kawasan Semporna dibersihkan setiap minggu. Kita mahu kekalkan keindahan kerana ia tunjang sektor pelancongan,” katanya.

Mengenai insiden kemalangan membabitkan van pelancongan yang menyebabkan kehilangan nyawa pelancong, Jafry berkata, kerajaan akan mewujudkan pasukan khas bagi menangani dan memberi respons pantas terhadap kejadian seumpamanya di Pantai Timur Sabah.

“Walaupun siasatan kemalangan di bawah bidang kuasa PDRM dan JPJ, kita mahu pastikan ada pasukan yang memfokuskan bantuan segera kepada pelancong yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pelancong supaya tidak mengabaikan pembelian insurans perjalanan kerana risiko kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa.

LEAVE A RESPONSE