Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

PETRONAS, Kerajaan Negeri iktiraf 98 vendor OGSE Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: PETRONAS bersama Kerajaan Negeri Sabah mengiktiraf 98 vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) berpangkalan di negeri ini atas pencapaian mereka dalam memperkukuh ekosistem industri tempatan yang mampan dan berdaya saing.

Pengiktirafan itu susulan peningkatan ketara jumlah kontrak yang diraih vendor tempatan sejak pelaksanaan Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) Sabah pada 2021.

Sebanyak 133 kontrak direkodkan pada 2021 sebelum meningkat kepada 499 kontrak pada 2025, sekali gus mencerminkan pertumbuhan konsisten serta kematangan keupayaan industri tempatan.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disaksikan Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Sr Mohd Ishak Datuk Ayub, mewakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Pengiktirafan disampaikan Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias, manakala Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong, turut hadir.

Ir Bacho dalam ucapannya berkata, landskap tenaga global yang semakin dinamik menuntut sektor OGSE terus memainkan peranan penting sebagai tunjang ekonomi negara.

“Sektor OGSE terus menjadi pemacu ekonomi Malaysia. Dengan sokongan dan kerjasama berterusan bersama Kerajaan Negeri Sabah, kita mampu membina rantaian bekalan OGSE yang lebih berdaya tahan serta meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya.

Vendor yang menerima pengiktirafan meliputi skop kerja sederhana hingga kompleks, termasuk penyelenggaraan turbin gas, perkhidmatan Kapal Sokongan Pengeluaran bagi operasi penggerudian laut dalam, penyelenggaraan kepala telaga dan terminal, kerja penyelenggaraan serta pengubahsuaian, selain operasi marin.

Mereka turut memperkukuh kerjasama industri melalui kontrak usahasama membabitkan kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir, termasuk kerja sambungan dan pentauliahan.

Pada majlis sama, dua syarikat Sabah diumumkan sebagai peserta baharu Program Pembangunan Vendor (VDP), iaitu Seascape Synergy Services Sdn Bhd bagi penyelenggaraan rakit dan bot penyelamat serta GMB Dynamic Sdn Bhd bagi penyelenggaraan jentera bomba.

Penyertaan itu mencerminkan peningkatan standard keupayaan vendor tempatan dari segi aspek keselamatan, kualiti dan kecemerlangan operasi.

PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, persatuan industri serta vendor atas komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem OGSE Sabah, selain menegaskan komitmen membangunkan industri yang mampan, inklusif dan berdaya saing demi masa depan lebih kukuh.

LEAVE A RESPONSE