Read Time:1 Minute, 3 Second
BEAUFORT: Sembilan buah sekolah di daerah ini terpaksa ditutup pada Khamis susulan banjir yang melanda sejak Rabu, sekali gus menjejaskan operasi persekolahan dan peperiksaan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Dr Raisin Saidin berkata, lapan sekolah ditutup selepas kawasan sekolah dinaiki air, manakala sebuah lagi tidak dapat beroperasi berikutan laluan masuk terputus akibat banjir.
Beliau berkata, sekolah yang terjejas akibat dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Baru, SK Suasa, SK Lago, SK Mempagar, SK Batu 60, SK Kabajang, SK Jabang dan Sekolah Menengah (SM) St Paul.
“Satu lagi sekolah iaitu SK Lupak tidak dinaiki air, namun terpaksa ditutup kerana laluan ke sekolah tidak dapat dilalui.
“Secara keseluruhan, sebanyak sembilan sekolah ditutup akibat banjir hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Raisin berkata, sesi pembelajaran dan pengajaran gantian akan dijalankan selepas keadaan sekolah kembali pulih.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JPNS turut mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membawa pengawas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ulangan ke pusat peperiksaan.
Katanya, langkah itu diambil berikutan laluan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong yang menjadi pusat peperiksaan terjejas akibat banjir.
Situasi banjir yang masih belum surut menyebabkan pihak berkuasa memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan murid, guru serta kelancaran urusan peperiksaan. – SABAH MEDIA






