Read Time:4 Minute, 21 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang menikam bekas teman wanitanya di sebuah pusat membeli-belah di sini tiga tahun lalu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh wanita berkenaan.
Tertuduh, Chung King Fung @ Haider Daniel Chung Abdullah, 33, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Datuk Alexander Siew How Wai.
Tertuduh telah membunuh Nurul Ain Silien, 21, antara jam 12 tengah hari hingga 12.20 tengah hari pada 29 Mei 2023 di sebuah kedai Polar Ice Cream yang terletak di Jesselton Mall, Jalan Haji Saman, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman dan menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh jatuh hukum.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan mangsa saling mengenali sejak pertengahan tahun 2022.
Pada 28 Mei 2023, kira-kira jam 10 hingga 11 pagi, tertuduh telah pergi ke sebuah pasar raya di Centre Point, Kota Kinabalu dan membeli dua bilah pisau, masing-masing bersaiz kecil dan sederhana.
Keesokan harinya, iaitu pada hari kejadian 29 Mei 2023 kira-kira jam 11.30 pagi, tertuduh menunggang motosikal menuju ke tempat kerja di Jesselton Mall. Tertuduh turut membawa kedua-dua bilah pisau yang dibelinya sehari sebelum itu dan menyimpannya di tempat penyimpanan barang di bawah tempat duduk motosikal.
Setibanya di tempat letak motosikal pusat beli-belah berkenaan, tertuduh mengeluarkan pisau bersaiz kecil daripada sarungnya dan menyembunyikannya di dalam stokin kaki kanan sebelum berjalan masuk ke dalam Jesselton Mall.
Apabila tertuduh tiba di kedai Polar Ice Cream, tiada pelanggan atau pekerja lain berada di dalam premis tersebut dan mangsa berada seorang diri di hadapan kaunter mesin juruwang.
Tertuduh masuk ke dalam kedai dan duduk di tempat duduk pelanggan. Ketika itu, mangsa sempat menghantar satu mesej WhatsApp kepada bapanya memaklumkan tertuduh berada di tempat kerjanya.
Kehadiran tertuduh dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan. Rakaman CCTV menunjukkan tertuduh dan magsa bercakap sebelum tertuduh secara tiba-tiba bangun, mengeluarkan pisau dari stokin dan menghampiri mangsa.
Setelah mendekati simati, tertuduh telah duduk sebelah simati dan merangkul leher dan bahu mangsa. Tertuduh kemudiannya telah menikam mangsa berulang kali di bahagian tepi dan belakang badan menggunakan pisau yang dipegang di tangan kanan.
Mangsa menjerit kesakitan dan meminta tolong namun tertuduh tidak menghentikan perbuatannya. Jeritan mangsa didengari seorang pengawal keselamatan yang berada di tingkat berkenaan.
Pengawal keselamatan telah mengarahkan tertuduh menghentikan perbuatannya, namun tertuduh tetap meneruskan menikam mangsa berkali-kali di bahagian depan dan belakang tubuhnya menggunakan pisau yang sama, walaupun mangsa telah rebah dan terjatuh ke lantai.
Selepas kejadian menikam, tertuduh berdiri dan mengelap darah pada tangannya menggunakan kain lap yang diambil dari atas kaunter kedai sebelum membuat panggilan kecemasan 999 untuk memaklumkan bahawa dirinya telah menikam mangsa.
Ambulans dari Hospital Queen Elizabeth tiba di lokasi kira-kira jam 12.45 tengah hari. Usaha resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 1 petang hari yang sama.
Bapa mangsa hanya sempat membaca mesej anaknya pada jam 11.51 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama ibu mangsa. . Ibu simati telah membuat panggilan kepada simati tetapi tidak diangkat. Apabila mereka tiba, mangsa telah meninggal dunia.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat. Pemeriksaan menemui lapan kesan tikaman pada tubuh mangsa, termasuk dua luka tikaman berganda (superimposed wounds).
Doktor mengesahkan mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat luka tikaman berganda (multiple stab wounds).
Semasa rayuan, Chung yang diwakili peguam Edward Paul memohon hukuman ringan dengan menyatakan tertuduh menyesali perbuatannya serta mengaku bersalah.
Peguam memaklumkan bahawa tertuduh dan mangsa pernah menjalin hubungan romantik. Tertuduh turut memeluk Islam pada 25 Disember 2022 sebagai tanda komitmen terhadap hubungan itu. Mereka menghadiri kursus perkahwinan dan merancang untuk berkahwin pada Mei 2023 sebelum hubungan tersebut berakhir.
Peguam berhujah bahawa tertuduh hilang kawalan emosi semasa kejadian, menjadikannya bertindak di luar kawalan. Perbuatan ini digambarkan sebagai jenayah kerana emosi (‘crime of passion’), di mana tertuduh hilang kewarasan akibat cemburu melampau dan patah hati. Sejurus selepas kejadian, tertuduh menghubungi polis untuk mengaku membunuh, seperti yang dilihat dalam rakaman video.
“Tiada sebarang penyesalan mampu mengembalikan nyawa mangsa, tetapi keputusan tertuduh untuk mengaku bersalah sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa beliau sangat menyesal dan ini adalah tanda bahawa beliau masih boleh dibimbing semula (direhabilitasi),” katanya sambil memohon agar hukuman minimum dikenakan dan bukannya hukuman mati.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Dacia Jane Romanus, membantah sekeras-kerasnya cubaan melabelkan kes itu sebagai ‘crime of passion’.
Beliau menegaskan bahawa jenayah yang dilakukan atas alasan emosi tidak kurang kejam; malah ia sering lebih dahsyat kerana melibatkan pilihan sedar untuk menukar perasaan peribadi menjadi keganasan maut.
“Pengakuan bersalah tertuduh hanya boleh diberi pertimbangan terhad memandangkan perbuatan itu dirancang, dilakukan dengan kekejaman serta mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak boleh dipulihkan,” katanya sambil mencadangkan hukuman melebihi minimum 30 tahun sekiranya mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati.
Ibu mangsa turut dipanggil untuk memberikan Pernyataan Impak Mangsa (Victim Impact Statement) mengikut Seksyen 183A Kanun Tatacara Jenayah.
TPR Arfa Anchal Khan dan Kareena Kaur Gill Karamjit Singh turut mewakili pihak pendakwaan.
Peguam Jakariya Ab Jalil sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.






