KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) kekal kukuh dan saling menghargai menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata kedua-dua gabungan berkongsi kumpulan pengundi yang sama dan perlu bekerjasama bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.
“Jika GRS lemah, PH juga akan lemah kerana kita berkongsi sokongan pengundi yang sama. Matlamat utama ialah memaksimumkan undi bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Masidi menjelaskan rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan PH berjalan secara harmoni dan menuju ke arah formula terbaik bagi mengelak pertandingan banyak penjuru.
“Ini bukan soal siapa dapat apa, tetapi soal menang. PH menghargai GRS sebagaimana GRS menghargai PH,” katanya.
Beliau menegaskan hubungan PH dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan tidak menjejaskan kerjasama GRS-PH.
“Itu urusan mereka. Fokus kami hanya pada kerjasama dengan PH,” tegasnya selepas merasmikan Borneo Vascular Conference ketiga di sini pada Jumaat yang dihadiri lebih 300 pakar dan profesional kesihatan serantau.
Masidi memuji kepakaran pasukan perubatan tempatan dan yakin projek Sabah Heart Centre yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan seperti dirancang.