Read Time:1 Minute, 44 Second
KUDAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Garau muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Matunggong 2026 bagi kategori sekolah rendah yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Garau, Kudat, baru-baru ini.
Kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan seramai 60 orang murid daripada enam buah sekolah rendah sekitar Zon Matunggong, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sekolah-sekolah terlibat dalam memperkasakan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada 40 orang guru termasuk ahli jawatankuasa penganjur, 15 orang sukarelawan, dua pegawai perhubungan sekolah (PDRM) serta penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti setempat.
Majlis pelepasan peserta bagi setiap kategori telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Garau, Wahiddin Rashid, bersama Guru Besar SK Lampaki, Alfred Mangabis.
Menurut Wahiddin, penganjuran kejohanan merentas desa ini berperanan sebagai platform penting dalam mencungkil dan mengenal pasti bakat sukan murid sejak peringkat awal, di samping membentuk sahsiah, disiplin serta daya tahan mental melalui persaingan yang sihat.
Beliau berkata, aktiviti sukan seumpama ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan fizikal murid, malah berfungsi mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama antara sekolah-sekolah dalam Zon Matunggong.
“Acara merentas desa bukan sekadar menguji tahap kecergasan fizikal, malah menjadi medium pembentukan ketabahan, disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan peserta,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan, Mary Mongujil.

Dalam keputusan keseluruhan kejohanan, SK Lampaki muncul sebagai naib johan, manakala SK Lotong menduduki tempat ketiga. Kedudukan keempat hingga keenam masing-masing dimenangi oleh SK Pinawantai, SK Sebayan dan SK Matunggong.
Seramai lima orang pemenang bagi setiap kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun akan dipilih untuk mewakili Zon Matunggong ke Kejohanan Merentas Desa peringkat daerah Kudat yang dijadualkan berlangsung pada April 2026.
Sementara itu, Mary Mongujil menegaskan bahawa penganjuran kejohanan ini bukan sekadar berfokus kepada pertandingan sukan semata-mata, sebaliknya menjadi medium pembentukan jati diri murid melalui penerapan nilai disiplin, kesungguhan dan daya saing yang positif.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, jurulatih, pegawai perhubungan sekolah, sukarelawan, ahli jawatankuasa penganjur, para peserta serta penaja utama, Life Water Kota Kinabalu, atas sokongan dan kerjasama erat dalam menjayakan kejohanan tersebut.






