Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

RUU Antibuli 2025: Buli adalah jenayah senyap yang mesti dihentikan – Anwar

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Normimie Diun

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa buli merupakan jenayah senyap yang mesti dinoktahkan segera kerana gejala itu telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan serta meragut nyawa insan.

Beliau berkata, sama ada berlaku di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya, buli tidak boleh dibiarkan terus berleluasa dan mesti ditangani secara menyeluruh melalui didikan empati serta penguatkuasaan tanpa kompromi.

“Kita mesti putuskan rantaian kezaliman ini sampai ke akar, melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 dalam sesi mesyuarat Parlimen kali ini sebagai langkah konkrit membanteras gejala tersebut.

Beliau berkata, seluruh kekuatan dan tenaga jentera kerajaan merentasi kementerian digembleng bagi mengekang budaya buli di semua peringkat masyarakat.

Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai pendekatan menyeluruh pencegahan buli di sekolah, termasuk memperkasa peranan guru dan murid menerusi Program Amalan Sekolah Penyayang.

Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta menganjurkan program sahsiah dan kepimpinan bagi mencegah budaya buli dan ragging.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pula menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok kepada mangsa buli, manakala Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan pelajar sekolah.

Dalam masa sama, Rakan Muda turut menggerakkan inisiatif “Lawan Buli” dalam kalangan belia di peringkat akar umbi sebagai usaha memperkukuh kesedaran dan tindakan masyarakat terhadap isu ini.

Anwar menegaskan, pendekatan menyeluruh itu bertujuan memastikan setiap peringkat masyarakat memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat, berempati dan bebas daripada sebarang bentuk buli.

LEAVE A RESPONSE