Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Apabila Petani Menua dan Ladang Kecil, Siapa Menjamin Makanan Negara?

Read Time:4 Minute, 41 Second

5 point ringkas
- Struktur pengeluaran makanan negara semakin berat ke arah produk diproses
-Jurang antara sektor downstream dan upstream semakin melebar
-Struktur pemilikan pertanian yang tidak seimbang
-Isu penuaan petani menjadi penghalang utama produktiviti
-ketersedian peruntukan, insentif cukai dan geran Agropreneur NextGen

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR,  Majoriti petani negara sudah berusia. Ini merupakan antara cabaran besar di dalam usaha transformasi sektor pertanian dan memperkasa agenda keterjaminan makanan negara.

Baru-baru ini, laporan BIMB Securities menunjukkan negara lebih agresif menghasilkan produk diproses dan minuman manis berbanding makanan ruji rakyat. Sepanjang tempoh masa enam tahun (2019–2025), struktur pengeluaran makanan domestik lebih memihak kepada kategori diproses dan bernilai tambah, berbanding makanan asas dan sumber protein utama.

Sepanjang tempoh tersebut, antara kategori pengeluaran makanan dan minuman yang merekodkan lonjakan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) ialah minuman manis berkarbonat (14.1 peratus), roti dan kek (14.0 peratus), susu pekat manis (12.6 peratus), minuman susu (5.3 peratus), marjerin (4.9 peratus) serta mi bihun (2.7 peratus).

Sebaliknya, pengeluaran makanan asas telah menyusut, antaranya beras penuh (-1.2 peratus), tepung gandum (-2.0 peratus), ikan dalam tin (-6.0 peratus), udang sejuk beku (-4.1 peratus) serta sotong atau kurita sejuk beku (-3.1 peratus).

Menurut BIMB Securities, trend dan jurang di antara lonjakan produk diproses dengan penyusutan pengeluaran makanan asas akan meningkatkan kebergantungan tinggi negara kepada import, seterusnya meningkatkan risiko serta pendedahan negara kepada kejutan bekalan dan harga pasaran global.

Trend lonjakan pemprosesan produk makanan dan minuman yang dilaporkan oleh BIMB Securities sebenarnya masuk akal, kerana keuntungan besar boleh dijana menerusi aktiviti nilai tambah. Sebaliknya, pengeluaran makanan asas sering kali tidak mampu menjana pendapatan besar kerana berada di permulaan rantaian bekalan makanan. More money could potentially be made in downstream activities than upstream. Oleh itu, ramai yang lebih tertarik dengan aktiviti downstream pemprosesan berbanding upstream pengeluaran.

Salah satu cabaran utama sektor pertanian negara ialah struktur pemilikan. Menurut Laporan Banci Pertanian 2024, daripada keseluruhan 1,034,182 pegangan pertanian, sebahagian besar adalah pegangan individu iaitu 1,012,993 pegangan atau 98.0 peratus, berbanding pegangan pertubuhan sebanyak 21,189 atau 2.0 peratus.

Fakta menarik, Banci Pertanian 2024 merupakan banci keempat yang dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ia dilaksanakan sepanjang Julai hingga Disember 2024 dan diterbitkan pada penghujung Disember 2025, melibatkan hampir 7,000 penyelia dan pembanci di seluruh negara.

Walaupun majoriti pegangan pertanian adalah pegangan individu, sebahagian besar keluasan bertanam sebenarnya berada di bawah pegangan pertubuhan iaitu 5.2 juta hektar atau 69 peratus, berbanding pegangan individu sebanyak 2.3 juta hektar atau 31 peratus.

Seiringan itu, jumlah pendapatan yang dijana oleh pegangan pertubuhan sebanyak RM136.05 bilion atau 73 peratus adalah jauh lebih besar berbanding pegangan individu sebanyak RM50.38 bilion atau 27.0 peratus.

Ini bermakna pegangan pertubuhan yang hanya berjumlah dua peratus mengusahakan 69 peratus keluasan bertanam dan menjana 73 peratus daripada jumlah pendapatan sektor pertanian.

Sebaliknya, pegangan individu yang berjumlah 98 peratus mengusahakan pertanian secara kecilan dengan purata keluasan 2.27 hektar dan hanya mampu menjana pendapatan kecil dengan purata RM49,733 setahun. Maka, tidaklah mengejutkan ramai petani kekal di dalam penjara kemiskinan.

Seterusnya, satu lagi cabaran utama sektor pertanian negara ialah umur petani. Menurut Banci Pertanian 2024, daripada jumlah pegangan individu, lebih 75 peratus merupakan petani ‘tua’, terdiri daripada mereka berumur 60 tahun ke atas (461,866 orang atau 45.6 peratus) dan umur 46 hingga 59 tahun (326,968 orang atau 32.3 peratus).

Manakala petani ‘muda’ pula merangkumi golongan berumur 31 hingga 45 tahun (190,944 orang atau 18.8 peratus) dan umur 15 hingga 30 tahun (33,213 orang atau 3.3 peratus).

Oleh yang demikian, usaha melonjakkan pengeluaran makanan dan produktiviti sektor pertanian negara menjadi sukar kerana ramai petani masih mengusahakan pertanian secara kecilan yang tidak menjana manfaat skala ekonomi serta kurang produktif. Keadaan ini menjadi lebih mencabar memandangkan ramai petani sudah berusia dan telah sebati dengan amalan pertanian sedia ada serta kurang daya dan dorongan untuk beralih kepada model pertanian terkini.

Justeru itu, Kerajaan Malaysia mesti menggandakan tekad untuk menangani isu serta cabaran berkenaan. Di bawah Belanjawan Malaysia 2026, kerajaan memperuntukkan RM6.87 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) bagi memperkasa agenda keterjaminan makanan negara, meningkat tujuh peratus berbanding RM6.42 bilion pada tahun 2025.

Bagi menggalakkan pengeluaran makanan dan meningkatkan produktiviti sektor pertanian, kerajaan menyediakan insentif pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan baharu serta pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh lima tahun kepada syarikat sedia ada yang membuat pembesaran projek.

Dalam usaha menarik penyertaan generasi muda, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM20 juta di bawah Program Agropreneur NextGen KPKM sebagai geran permulaan sehingga RM30,000 dan geran pengembangan sehingga RM50,000 bagi projek pertanian yang diusahakan oleh golongan muda.

Namun begitu, walaupun insentif dan pembiayaan yang menarik disediakan, realitinya amat sukar untuk menarik minat golongan muda ke dalam sektor pertanian. Persepsi bahawa pertanian merupakan kerjaya 3D — Dirty, Dangerous and Difficult — masih terpahat kuat, selain dilihat rendah status serta tidak mampu menjana pendapatan lumayan untuk menampung kos dan gaya hidup masa kini.

Jika diberi pilihan antara bekerja di pejabat berhawa dingin atau bekerja di kebun berpanas terik, tidaklah mengejutkan sekiranya 99 peratus golongan muda memilih kerjaya di pejabat. Malah, ramai anak petani di luar bandar sejak kecil berimpian keluar dari kawasan ‘kebun’ dan menetap serta bekerjaya di bandar besar.

Lebih-lebih lagi, ramai golongan muda kini terpikat dan terperangkap dengan gaya hidup semasa, termasuk keresahan Fear of Missing Out (FOMO) jika tidak mendakap gaya hidup tersebut.

Di kawasan ‘kebun’, tiada Zus Coffee. Di kawasan pejabat, ada Mixue.

LEAVE A RESPONSE