Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Syarat Bank Guarantee tinggi, risiko kecilkan penyertaan pengusaha Umrah Borneo – PAUHS

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah (PAUHS) memandang serius pelaksanaan syarat Bank Guarantee berjumlah RM250,000 sebagai salah satu keperluan baharu bagi pembaharuan lesen agensi umrah, yang disifatkan berpotensi memberi kesan besar terhadap struktur dan kelangsungan industri, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Presidennya, Nor Azmi Abi Shafian, berkata PAUHS menghormati hasrat kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus industri, meningkatkan tahap integriti serta memastikan perlindungan menyeluruh kepada para jemaah umrah.

Menurut beliau, pihaknya menyokong sepenuhnya tindakan tegas terhadap mana-mana agensi yang terlibat dalam penipuan, pecah amanah atau gagal menunaikan tanggungjawab kepada pelanggan, termasuk penggantungan lesen, penalti berat serta senarai hitam tanpa kompromi.

Namun begitu, Nor Azmi berkata pelaksanaan syarat Bank Guarantee pada kadar yang tinggi secara menyeluruh menimbulkan kebimbangan serius kerana berpotensi mewujudkan struktur industri yang semakin tertumpu kepada pemain bermodal besar, sekali gus mengehadkan penyertaan pengusaha kecil dan sederhana yang selama ini beroperasi secara beretika serta memainkan peranan penting dalam memperluas akses masyarakat untuk menunaikan ibadah umrah.

“Jika tidak dinilai dengan segera, dasar ini berisiko membentuk landskap industri yang kurang kompetitif, di mana kekuatan modal menjadi penentu utama kelangsungan, bukan rekod integriti atau kualiti perkhidmatan. Keadaan ini boleh melemahkan dinamika pasaran serta menghakis semangat keusahawanan pemain tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa berdasarkan pemerhatian industri, kes penipuan umrah lebih kerap dilaporkan melibatkan agensi berpangkalan di Semenanjung Malaysia, manakala kes melibatkan pengusaha asal Sabah dan Sarawak adalah jarang berlaku.

Justeru itu, katanya, pelaksanaan dasar secara menyeluruh tanpa mengambil kira perbezaan corak risiko boleh menimbulkan persepsi ketidakadilan serta membebankan pengusaha di Borneo.

Sehubungan itu, Nor Azmi berkata kawal selia yang berkesan seharusnya bersifat strategik dan tepat sasaran dengan memfokuskan kepada agensi berisiko, bukannya memberi kesan menyeluruh yang turut menekan pengusaha berrekod baik dan patuh.

“PAUHS berpandangan keperluan Bank Guarantee tersebut wajar dikaji semula secara menyeluruh dan dilaksanakan melalui pendekatan yang lebih seimbang bagi mengelakkan kesan tidak diingini terhadap struktur industri dalam jangka panjang, selaras dengan realiti operasi di lapangan.

Bagi mencapai keseimbangan itu, Nor Azmi menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan beberapa langkah termasuk pengiktirafan terhadap instrumen perlindungan alternatif seperti skim insurans, penganjuran sesi libat urus industri yang lebih menyeluruh sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan, serta penguatkuasaan berasaskan data dan risiko dengan menumpukan tindakan kepada agensi bermasalah.

“Industri umrah bukan sekadar sektor ekonomi, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam mengurus perjalanan ibadah umat Islam.

“Setiap keputusan dasar perlu memperkukuh keyakinan, memelihara kestabilan industri dan memastikan peluang kekal terbuka kepada pengusaha yang berdaya saing serta berintegriti,” katanya.

LEAVE A RESPONSE