Read Time:2 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU: Tahap bakat belia Borneo dalam bidang seni persembahan mencuri perhatian juri antarabangsa apabila dua juri jemputan dari Korea Selatan menyifatkan mutu persembahan peserta setanding pelajar universiti di negara itu.
Pujian tersebut dizahirkan oleh Hyungjoo Kim dan Daroon Bong dari Yuhan University, Korea, selepas menyaksikan persembahan peserta dalam pertandingan Borneo Got Talent & Performing Arts 2026 yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, baru-baru ini.
Empat peserta muda dinobatkan sebagai juara bagi setiap kategori utama pertandingan itu iaitu Muhlis Husrev (Performing Arts – Singing) mewakili Bandaraya Kota Kinabalu, Siti Nur Fatin binti Pehan (Performing Arts – Dancing) dari Pulau Banggi, Kudat, Mohammad Ashraf (Performing Arts – Unique Talent) dari Beaufort, serta Nur Ratu Mia Adriana (Project Runway – Kerja Berpasukan) mewakili Likas, Kota Kinabalu.
Program anjuran Lembaga Pengurusan Sekolah bersama SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF) itu bertujuan mengetengahkan bakat belia dalam persembahan pentas, selain mengumpul dana bagi pembangunan fasiliti sekolah.
Kira-kira 1,000 penonton hadir membeli tiket bagi menyaksikan acara tersebut secara langsung, manakala ribuan lagi mengikuti siaran menerusi platform TV Sabah.
Majlis yang dikendalikan oleh tiga pengacara iaitu Eve Saimon, Jordan Queka dan Kelly Tseu itu disusun kemas serta berlangsung lancar sebelum berakhir pada jam 11.30 malam.
Acara turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi profesional Daniesh Suffian, alumni SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF), yang berkongsi pengalaman beliau pernah menyertai pertandingan seumpama itu sebelum berjaya dalam bidang nyanyian.
Beliau turut menggalakkan pelajar agar berani mencuba demi mengejar impian sebelum mendendangkan lagu popularnya “Akhirnya Kamu” dan “Nothing Gonna Change My Love For You”.
Ketua juri, Esther Applunius, menyatakan sokongan penuh terhadap usaha sekolah dalam memberi ruang kepada belia meneroka potensi diri, khususnya menerusi sokongan Pengetua Thein Nyuk Kong dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Jimmy Chu.
Juri kedua, Rhowell Rolland pula menasihatkan peserta agar tidak gentar tampil di atas pentas kerana keberanian mencuba itu sendiri sudah merupakan satu kemenangan besar.
Sementara itu, juri ketiga, Dennis Patrick yang juga Pengarah TV Sabah berkata, TV Sabah bertindak sebagai rakan strategik program tersebut dan menaja separuh kos siaran langsung bagi memastikan pertandingan dapat ditonton oleh lebih ramai belia sebagai sumber inspirasi.
Bagi kategori anugerah khas, Nur Ratu Mia Adriana turut merangkul gelaran Best Model, manakala Za Divaz memenangi Best Costume dan Creative Talent. Muhlis Husrev pula menerima anugerah Most Liked by Social Media, sementara Siti Nur Fatin binti Pehan dinobatkan sebagai Most Popular by Voting.
Penyelaras pertandingan peringkat negeri, Walter Misir merakamkan penghargaan kepada penyelaras daerah iaitu Jeslyn Lau (Bandaraya Kota Kinabalu), Leon Dison (Penampang), Juan Richo (Kudat) dan Elizabeth Jipanis (Likas, Kota Kinabalu) atas usaha mencungkil bakat belia di peringkat akar umbi.






