Read Time:3 Minute, 1 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu kepada pelajar A pernah menyuarakan kebimbangannya kepada ketua warden berhubung apa yang disifatkannya sebagai “pengaruh tidak bermoral”.
Kebimbangan itu timbul selepas anaknya mendakwa menyaksikan perlakuan tidak wajar membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan seorang rakan sebilik di asrama.
Saksi ke-62 dalam penyataan saksinya berkata, pelajar A mendakwa pernah melihat rakan sebilik mencium bahagian sulit arwah Zara pada waktu pagi.
Menurut saksi, anaknya turut melihat Zara berada berdua-duaan dengan rakan sebilik yang sama di bilik mandi sambil bergurau mesra dan berkelakuan rapat secara fizikal.
Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa selepas beberapa minggu berada di asrama, pelajar A pernah menghubunginya dalam keadaan menangis dan tertekan.
“Suaranya hampir tidak kedengaran, sukar nak bercakap dan tersedu-sedu. Pelajar A mengadu ada roommate menyerangnya iaitu dengan cara mengherdik, memaki dan memfitnahnya,” katanya.
Menurut saksi, roommate yang dimaksudkan ialah Zara dan rakan sebilik tersebut.
“Saya berasa risau kerana mereka ada pengaruh senior. Mereka mengadu domba pada senior dan senior telah memarahi pelajar A dengan memaksa pelajar A berkawan juga dengan Zara dan rakan sebilik itu.
“Siapa senior tersebut saya tidak pasti. Saya meminta supaya ustaz Azhari (ketua warden) ambil maklum dan siasat tentang perkara tersebut,” katanya yang melaporkan perkara itu melalui Whatsapp kepada Ustaz Azhari.
Saksi berkata beliau telah beberapa kali mengemukakan aduan kepada ustaz berkenaan sejak Mac hingga Julai, namun mendakwa tidak menerima maklum balas yang memuaskan.
Menurutnya, para warden yang tidak telus dalam setiap laporan yang di buat. Lebih mempercayai pelajar yang menipu dan pandai berlakon.
“Mereka malas buat siasatan, warden tidak pernah datang buat rondaan di waktu malam. Guru-guru ada yang berat sebelah dan tidak peduli akan masalah pelajar hanya tahu marah tapi tidak siasat,’ katanya sambil mendakwa perkara tersebut mengganggu emosi dan mental pelajar.
Mengenai hubungan Zara dengan pelajar A, saksi berkata pada awalnya Zara suka membuli pelajar A tetapi sejak bulan April sudah mula berbaik.
“Saya pernah bertanya pada pelajar A kenapa kawan dengan Zara tu diakan jahat terhadap pelajar A, suka tengking pelajar A.
“Jawapan pelajar A: ‘Itu dulu bonda, Zara sudah berubah dia dah tak nakal-nakal. Dia sendiri mengaku dia nak berubah tak nak nakal-nakal lagi. Lagi pun dia dah taubat,’” katanya sambil menambah pelajar A juga berasa kasihan kerana Zara tidak mempunyai kawan, dipulaukan pelajar lain, selain sering dimarahi guru.
Saksi berkata apabila beliau bertanya maksud taubat, pelajar A menjelaskan Zara telah melakukan solat taubat dan dia sendiri menyaksikannya sebanyak dua kali.
“Saya hanya diam apabila pelajar A berceritakan hal itu dan berdoa dalam hati semoga semuanya baik baik hendakknya dan saya juga berazam untuk menyantuni dia bila berjumpa dengan dia kelak,” katanya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai, 2025 dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Pada 20 Ogos, 2025, lima pelajar termasuk pelajar A, yang identitinya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencela Zara.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam bagi bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Peguam bagi pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi empat lagi remaja lain ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.
Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.






