PUTRAJAYA : Permohonan undi pos bagi semua kategori sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 akan dibuka mulai Isnin, 13 Oktober 2025.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, permohonan undi pos terbuka kepada tiga kategori pemilih.
“Antaranya ialah Kategori 1A meliputi Anggota Polis, Anggota Tentera, Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR serta Petugas Media.
“Selain itu, turut terlibat Kategori 1B meliputi Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C (Agensi atau Organisasi yang diiktiraf),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, semua permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://myspr.spr.gov.my dan pemohon perlu mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos.
“Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos digalakkan membuat permohonan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
SPR akan memaklumkan tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori pada masa yang akan datang.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7218 bagi sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut berkaitan urusan undi pos. – SABAH MEDIA