Read Time:2 Minute, 12 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menyeru Kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan semula keputusan pengurangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW).
Beliau berkata, elaun itu penting dalam menyokong doktor yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak, serta menyifatkan pengurangan BIW sebagai satu langkah ke belakang.
“Saya mengambil maklum tentang kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah, melalui Presidennya, Dr Brandon Patrick Senagang, bahawa pengurangan elaun ini akan memberi kesan negatif terhadap tenaga kerja kesihatan di Sabah dengan meningkatkan ketidaksamarataan dalam penjagaan kesihatan serta menjejaskan keberlangsungan tenaga kerja.
“Walaupun Kerajaan Negeri menghargai kenaikan besar dalam kadar gaji kakitangan persekutuan di bawah skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu, kami berpendapat bahawa pengurangan BIW adalah satu langkah ke belakang, terutamanya bagi kakitangan kesihatan yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘MMA Sabah Annual Dinner & Installation Night 2025’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Dr Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk menjaga kebajikan doktor serta memperkukuh sistem kesihatan negeri melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan kerja-kerja baik pulih yang amat diperlukan di klinik-klinik kesihatan di seluruh Sabah, sambil menangani isu infrastruktur lama berkaitan jalan raya, bekalan elektrik dan air.
“Dengan mandat baharu yang diberikan oleh rakyat Sabah, kami berusaha keras untuk memastikan isu-isu infrastruktur lama ini akan segera menjadi sejarah,” katanya sambil menyuarakan keyakinan terhadap masa depan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Sebagai seorang doktor perubatan dan ahli seumur hidup MMA, Dr Joachim turut memberi penghormatan kepada MMA atas peranan mereka sebagai organisasi terbesar dan tertua di negara ini yang mewakili profesion doktor, serta penglibatan berterusan mereka dalam memperjuangkan hak profesional dan standard kesihatan.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, beliau memuji Cawangan MMA Sabah atas sumbangan mereka yang melangkaui tanggungjawab profesional, termasuk usaha kemanusiaan semasa krisis.
“Sebagai contoh Dana COVID-19 MMA Sabah, yang berjaya mengumpul sejumlah RM4 juta untuk menyokong Jabatan Kesihatan Sabah semasa pandemik COVID-19, serta Kempen Derma Banjir MMA Sabah baru-baru ini, yang berjaya mengumpul sejumlah RM80,000 untuk bantuan bencana banjir.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan komitmen cawangan tersebut, malah turut mencerminkan kepercayaan dan kedudukan cawangan itu dalam kalangan Masyarakat,” katanya.
Dr Joachim turut menghargai pengorbanan doktor yang bertugas di kawasan luar bandar Sabah, mengiktiraf pengorbanan profesional perubatan yang meninggalkan keluarga di Semenanjung Malaysia, sementara sebahagian lain memilih untuk menetap secara kekal di negeri ini.
“Bagi pihak rakyat Sabah, terima kasih atas khidmat bakti anda,” katanya.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/12/21/pengurangan-insentif-wilayah-perlu-diteliti-semula-mma-sabah/






