Tindakan Petronas bawa isu minyak dan gas ke mahkamah cetus kebimbangan perpaduan — Abdul Karim
Read Time:1 Minute, 42 Second
KUCHING : Tindakan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memfailkan kes berkaitan hak minyak dan gas Sarawak di Mahkamah Persekutuan disifatkan berpotensi menjejaskan semangat persekutuan serta hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah membawa pertikaian tersebut ke saluran kehakiman seolah-olah bercanggah dengan semangat rundingan yang telah lama menjadi asas penyelesaian isu antara kedua-dua pihak.
“Isu ini bukan perkara baharu. Ia telah dibincangkan berulang kali melalui rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Jika wujud perbezaan pandangan, saluran dialog seharusnya diutamakan, bukan tindakan mahkamah,” katanya dalam satu video di laman rasmi tiktoknya semalam.
Abdul Karim berkata, tindakan Petronas yang dilihat dilakukan secara “tiba-tiba” turut menimbulkan persoalan sama ada ia dibuat dengan pengetahuan dan restu pihak tertinggi kerajaan Persekutuan, memandangkan syarikat minyak nasional itu berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan, sama ada memihak kepada kerajaan Persekutuan atau Sarawak, tidak semestinya dapat meredakan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi.
“Keputusan undang-undang mungkin memberikan kejelasan dari sudut perundangan, tetapi ia tidak akan menyelesaikan persoalan kepercayaan, rasa tidak selamat dan keresahan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kenyataan seorang menteri Persekutuan baru-baru ini yang mendakwa bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menyentuh langsung isu minyak dan gas, ketika kes masih belum diputuskan, turut mencetuskan kebimbangan mengenai prinsip sub judice dan persepsi campur tangan terhadap proses kehakiman.
Abdul Karim berkata, sentimen yang tercetus bukan bertujuan mempersoalkan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan, tetapi mencerminkan kekecewaan terhadap cara isu sensitif itu ditangani.
“Kami mahu Malaysia yang aman, bersatu dan progresif. Namun, jika pertikaian terus dibawa ke mahkamah tanpa usaha ikhlas untuk berdialog, ia hanya akan menjarakkan lagi hubungan antara negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam mana-mana sistem persekutuan, termasuk di Australia dan Kanada, pertikaian antara kerajaan pusat dan negeri lazimnya diselesaikan melalui perundingan, bukannya semata-mata bergantung kepada keputusan kehakiman.
“Jika kita benar-benar mahu menjaga perpaduan negara, maka semangat federalisme yang berteraskan rundingan dan saling menghormati mesti dikembalikan,” katanya.






