Read Time:2 Minute, 34 Second
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, menggesa kerajaan Persekutuan agar segera menangani dua isu asas yang sekian lama membelenggu Sabah, iaitu penambahan kerusi Parlimen secara adil serta pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu.
Berucap ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja di Parlimen Malaysia, beliau berkata ketidakseimbangan perwakilan Parlimen dan kegagalan menunaikan hak kewangan Sabah telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen Persekutuan dalam menghormati semangat pembentukan Malaysia.
Menurut Jonathan, perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat semakin terhakis sejak pemisahan Singapura pada 1965, sekali gus menyebabkan kedua-dua wilayah itu kehilangan kuasa semak dan imbang yang penting dalam mempertahankan hak perlembagaan mereka.
“Apabila Akta Pembangunan Petroleum 1974 diluluskan, Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi memiliki satu pertiga kerusi Parlimen untuk mempertahankan kepentingan rakyat. Ini berpunca daripada kegagalan mengembalikan perwakilan yang seimbang seperti yang dijanjikan ketika pembentukan negara,” katanya.
Tambahnya adakah sewaktu kita membentuk negara ini, Malaysia ini, Adakah telah dipersetujui bahawa minyak yang ada di bumi Sabah dan Sarawak itu diserahkan kepada untuk dieksploitasi sepenuhnya?
“ Pada tahun 1963, saya percaya tidak ada perbincangan sedemikian. Kalau ada minitnya, tunjukkan minit mesyuarat itu, siapa pemimpin Sabah yang bersetuju untuk menyerahkan minyak, atau pemimpin Sarawak yang mahu menyerahkan seluruh minyak kepada Semenanjung untuk dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan. Tetapi setahu saya, tidak ada katanya.
Jelas beliau lagi, melalui laporan Suruhanjaya Cobbold, laporan antara kerajaan, sehinggalah kepada MA63 dan sehingga ke hari ini, tanah itu berada di bawah kuasa sepenuhnya kerajaan negeri, Sarawak dan juga Sabah pada masa itu.
Sebab itu saya tertanya-tanya, mengapa sehingga sekarang seolah-olah perkara ini tidak diiktiraf. Seolah-olah minyak itu adalah hasil sepenuhnya yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.
Beliau yang turut menuntut keseimbangan penambahan kerusi Parlimen agar jumlah Ahli Parlimen yang mewakili Sabah Dan Sarawak pada masa hadapan perlu dilaksanakan secara serentak dan adil, dengan jaminan bahawa formula satu pertiga kerusi dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan penghakisan kuasa secara berterusan.
Dalam perbahasan sama, Jonathan turut membangkitkan kegagalan kerajaan Persekutuan menunaikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, meskipun perkara itu telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan dibincangkan sejak lebih enam dekad lalu.
“Ini bukan isu baharu. Lebih 60 tahun berlalu, tetapi hak 40 peratus Sabah masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Sehingga kini, kerajaan juga tidak pernah mendedahkan secara telus jumlah sebenar hasil yang diperoleh daripada Sabah,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan menunaikan tuntutan tersebut telah memberi kesan langsung kepada keupayaan negeri membiayai pembangunan asas, khususnya di kawasan luar bandar yang luas dan mencabar seperti Ranau.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tuntutan hak Sabah bersifat hasutan, sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada janji yang tidak ditunaikan.
“Kami bukan menghasut. Kami hanya menuntut apa yang telah dipersetujui. Kekecewaan ini lahir kerana janji itu tidak ditunaikan, bukan kerana sentimen politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, Jonathan menggesa kerajaan Persekutuan menetapkan garis masa jelas bagi pelaksanaan tuntutan 40 peratus serta meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Sabah ke tahap yang lebih adil dan setimpal.
“Jika benar hasratnya untuk membangunkan Sabah dan Sarawak, buktikan dengan tindakan. Berikan peruntukan yang munasabah supaya kami boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.






